Jamal: Fikiran Tun Dr M dijajah pembangkang
Pemikiran bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamed sudah dijajah pembangkang kerana menyertai perhimpunan BERSIH 4 hujung bulan lalu, kata Pengerusi Gabungan NGO-NGO Melayu Datuk Jamal Md Yunos.
Beliau - antara yang menyokong himpunan Baju Merah 16 September ini - berkata pemikiran orang Melayu turut dijajah ekoran perhimpunan BERSIH yang majoritinya dihadiri kaum Cina.
"(Sebanyak) 90 peratus yang hadir dalam BERSIH adalah Cina DAP dan ia mengambarkan perhimpunan tersebut dianjurkan oleh orang Cina DAP.
“Jadi, pemikiran bangsa lain termasuk orang Melayu telah dijajah termasuk Tun M kerana hadir BERSIH,” katanya dalam sidang media di Kelab Raja Sulaiman Kampung Baru.
Beliau yang juga ketua Umno Sungai Besar berkata kehadiran bekas presiden Umno itu hanya mengambil kesempatan dalam perhimpunan BERSIH demi kepentingan peribadinya.
“Dia ada sesuatu benda yang dia nak, sebab itu dia hadir BERSIH. Dia akan lakukan apa sahaja asalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat digulingkan. Itu cara psikologi Tun Mahathir," katanya.
Sementara itu Jamal berkata perhimpunan itu tetap akan diteruskan sekiranya tidak mendapat permit.
"Soal polis tak bagi, itu terpulang pada mereka tapi kita tetap akan turun kerana ingin menyambut hari Malaysia.
"Kita bersetuju pada 16 September ini (kerana ia) Hari Malaysia,” katanya yang menambah perhimpunan itu dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Kebangsaan (Pesaka).
Jamal menjangkakan 300,000 akan turun ke perhimpunan tersebut dan 30,000 daripadanya adalah dari NGO-NGO Melayu.
Perhimpunan itu akan bermula pada jam 11 pagi sehingga 12 malam dan akan bermula dari Bukit Bintang melalui ke Petaling Street dan berakhir di Padang Merbok.
Bagaimanapun Jamal berkata, atur cara penuh mengenai perhimpunan ini akan diumumkan dalam sidang media seterusnya.

