Kumpulan pelajar Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) hari ini mengumumkan memulaukan pilihan raya kampus universiti itu.

Mereka mempertikai ketelusan pilihan raya itu serta ketiadaan autonomi kepimpinan mahasiswa di bawah kawalan bahagian hal ehwal pelajar universiti.

Mereka juga mendakwa cadangan demi cadangan penambahbaikan yang dilontarkan saban waktu tidak membuahkan hasil.

“Oleh kerana itu, mengapa perlu lagi kami melibatkan diri dalam pilihan raya?

“Semuanya mahu disekat dan dikawal oleh HEPA,” kata pengerusi kumpulan itu Muhammad Syazmee Sapian.

Pro-mahasiswa sebuah kumpulan yang cenderung kritikal kepada kerajaan dan pentadbiran universiti berbanding lawan tradisi mereka Pro-Aspirasi.