Perhimpunan Baju Merah pada 16 September ini bebas politik dan bukan untuk mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata sebuah kumpulan yang mendukung acara itu.

Kumpulan dikenali sebagai “Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi” (Epanco) itu berkata penyertaan mereka semasa perhimpunan itu hanya untuk menuntut keamanan.

"Kami turun bukan untuk mempertahankan Datuk Seri Najib.

"Kami turun untuk menuntut keamanan dan tiada kaitan dengan politik," tegas presiden Epanco Ariffin Abu Bakar ketika ditemui pemberita selepas hadir ke ibu pejabat daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini.

Ariffin berkata mereka yang akan hadir pada perhimpunan itu nanti dijangka dari pelbagai fahaman politik.

"Yang turun nanti ada yang menyokong kerajaan, ada yang menyokong pembangkang, penyokong Tun Mahathir dan juga penyokong PAS.

"Kami tengok sekarang banyak huru-hara berlaku, dengan GST dan permasalahan lain yang berlaku hal negara ini," ujar Ariffin.

Perhimpunan pada Hari Malaysia ini reaksi kepada himpunan BERSIH 4 yang mendesak pengunduran perdana menteri pada hujung bulan lalu.

Perhimpunan itu, yang menggunakan tema baju kuning, dikaitkan pemimpin kerajaan dan media arus perdana dengan dominasi Cina dan DAP.