Tindakan spontan peserta Hari Kayuhan Malaysia 2015 bersalaman dan mengambil gambar dengan Datuk Seri Najib Razak menunjukkan mereka bersikap lebih positif terhadap perdana menteri itu yang kini berhadapan masalah politik, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya lagi, reaksi peserta ia turut menunjukkan golongan muda berjaya mengetepikan masalah politik untuk sama-sama membangunkan negara.

“Mereka (peserta kayuhan) telah beri respon spontan dan positif kepada perdana menteri terutamanya apabila lalu di depan beliau, ada yang bersalam, ada yang ambil gambar.

“Saya percaya (mereka) sudah berjaya ketepikan masalah politik dan sebagainya untuk bangunkan negara,” katanya dalam sidang media selepas melepaskan 4,000 peserta kayuhan di Dataran Merdeka malam tadi.

Sebelumnya kelihatan peserta acara tersebut mengambil gambar bersama Najib malah ada di antara mereka yang memberi ucapan menggunakan pembesar suara bahawa mereka bersama kepimpinan negara.

Sementara itu Najib dalam ucapan ringkasnya yakin generasi muda kini dapat meneruskan obor perjuangan pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan.

“Kita dapat meneruskan obor perjuangan yang telah pun disampaikan kepada kita dari satu generasi kepada generasi yang lain.

“Kita berharap api perjuang itu tetap membara di dalam sanubari kita,” katanya.

Program anjuran Pemuda Umno Malaysia ini turut turut dicatat dalam The Malaysian Book Of Record kerana disertai seramai 4,000 orang berbasikal, 100 bermotosikal dan 50 buah kereta.

Peserta berbasikal mengayuh sejauh 29 kilometer bermula dari Dataran Merdeka ke sekitar Kuala Lumpur dari jam 10.30 malam dan berakhir pada jam 2 pagi.