Empat jemaah haji dari Selangor adalah antara 10 yang dilaporkan cedera dalam kejadian runtuhan kren di Masjidil Haram, lapor Lembaga Tabung Haji hari ini.

Mereka yang dikenalpasti ialah Zainul Arifin Zulkifli, 36, Ahmad Muzafar Mamat@Adam, 39, Mohd Sharif Meon, 64 dan Mohd Nor Azman Hassan, 44.

Enam mangsa lain masing-masing tiga jemaah dari Kelantan, dua dari Terengganu dan seorang jemaah dari Kuala Lumpur.

Dari Kelantan ialah Mat Deris Mohd Noor, 62; Faridah Mat Yacob, 46; dan Abdul razak Mahmood, 61; manakala dari Terengganu ialah Faridah Mansor, 63; Noordin Wahab, 59; dan dari Kuala Lumpur, Rusiah Baba, 60.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan 10 jemaah tersebut telah tercedera dalam kejadian semalam pada jam 5.00 petang waktu tempatan.

Menurut kenyataan itu, tiada kematian melibatkan warganegara Malaysia dilaporkan setakat ini.

"Semua jemaah haji Malaysia yang tercedera diberikan rawatan di beberapa hospital sekitar Makkah," katanya.

Menurut kenyataan sama, kemalangan berlaku disebabkan ribut pasir dan hujan lebat yang melanda seluruh Makkah sebelum waktu Maghrib pada hari kejadian.

"Sehingga kini, seramai 87 orang mangsa terkorban, manakala 201 orang mangsa lagi dilaporkan cedera.

"Kementerian Luar Negeri, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan Tabung Haji akan terus memantau perkembangan semasa," kata kenyataan itu.