Parti Tindakan Rakyat (PAP) kembali berkuasa selepas memenangi 83 daripada 89 kerusi parlimen dengan meraih 69.86 peratus undi popular dalam pilihan raya umum Singapura.

Parti yang memerintah Singapura sejak 1959 itu turut merampas semula kerusi kawasan tunggal (SMC) Punggol East manakala parti pembangkang, Parti Pekerja, memenangi enam kerusi, mengekalkan kubu kuatnya kawasan perwakilan kumpulan Aljunied dan Hougang SMC dengan margin berkurangan.

PAP menerima lebih 70 peratus perkongsian undi di 15 daripada 29 bahagian pilihan raya dengan tiga prestasi terbaik di Jurong GRC (kawasan pilihan raya Kumpulan Perwakilan) (79.28 peratus), Ang Mo Kio GRC (78.63 peratus) dan West Coast GRC (78.57 peratus).

Ini merupakan pilihan raya umum ke-17 bagi Singapura dan ke-12 sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1965.

Ia juga pilihan raya umum pertama selepas kematian perdana menteri dan pengasas Singapura Lee Kuan Yew pada Mac lalu.

Jumlah mereka yang layak mengundi pada pilihan raya umum ini ialah 2.46 juta orang.

Pada pilihan raya umum 2015, calon-calon dari sembilan parti politik termasuk PAP bertanding bagi 16 kerusi GRCdan 13 kerusi SMC untuk mengisi 89 kerusi Parlimen.

Lapan lagi parti ialah Parti Pekerja yang bertanding (28 kerusi), Parti Rakyat Singapura (lapan), Parti Demokratik Singapura (11), Parti Perpaduan Nasional (12), Perikatan Demokratik Singapura (enam), Parti Reformasi (11), Parti Warga Diutamakan (10) dan Parti Kuasa Rakyat (empat).

Untuk kali pertama sejak 2001, dua calon Bebas, Han Hui Hui dan Samir Salim Neji, bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

Pada pilihan raya umum 2011, PAP kekal berkuasa selepas memenangi 81 daripada 87 kerusi yang dipertandingkan ketika itu.

- Bernama