Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata beliau tidak akan berundur selagi masih mendapat sokongan parti dan rakyat .

Berikrar berjuang habis-habisan dan memikul tanggungjawabnya kepada parti dan rakyat, Najib berkata beliau tidak akan mengecewakan ahli Umno dan rakyat walaupun berdepan dengan cabaran.

"Selagi saya mendapat sokongan parti dan rakyat, saya akan terus memimpin. Saya tidak akan berundur, Insha Allah. Kita akan bergerak maju ke depan.

"Kita akan berjuang secara habis-habisan dan saya akan memikul tanggungjawab saya kepada parti dan rakyat.

"Saya tidak akan kecewakan ahli Umno dan rakyat Malaysia. Semua pemimpin menghadapi cabaran dan apabila dah masuk ke gelanggang, jangan kita keluar di tengah-tengah perlawanan," kata Najib di dalam blognya hari ini.

Mengimbau cabaran selepas terlibat dalam Umno sejak 40 tahun lalu, Najib berkata beliau menggantikan ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein menjadi MP Pekan dalam usia yang muda, dan terpilih memimpin Pemuda Umno sewaktu Umno diharamkan pada 1987.

"Tetapi saya sedar bahawa dalam apa jua keadaan, perjuangan mesti diteruskan. Kita telah berikhtiar dan menggunakan kebijaksaan, berpakat serta mencari jalan bagaimana kita boleh membangunkan semula parti yang sudah banyak berjasa dan berbudi ini.

"Alhamdulillah kita melihat Umno lebih berjaya pada hari ini," katanya.

Bagaimanapun berbeza pada zaman kini dengan wujudnya media sosial, Najib berkata ia digunakan senjata untuk mencerca, memfitnah dan mengaibkan pemimpin termasuk menyerang pemimpin untuk menumbangkan parti.

"Hari ini, media sosial hanya di hujung jari untuk kita menyatakan sesuatu yang benar, atau menabur fitnah. Kita berdepan dengan satu suasana baru yang mana media sosial digunakan untuk menyebarkan kebencian kepada pemimpin sehinggakan budi pemimpin tidak bermakna.

"Inilah mainan yang berlaku sekarang dan kebetulan pula ia berlaku pada masa saya sebagai pemimpin parti.

"Kalau orang nak hancurkan parti, mestilah serang pemimpinnya. Kalau sudah hilang kepercayaan pada pemimpin, maka mudahlah parti itu tumbang pada bila-bila masa," kata presiden Umno itu.

Najib turut berkata, konspirasi menjatuhkan pemimpin terutamanya terhadap Umno wujud dari dalam dan luar negara kerana parti itu merupakan menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara kini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya faham situasi politik yang ada pada ketika ini memandangkan bahawa negara ini masih lagi aman dan menjurus kepada kejayaan hasil pimpinan Umno.

"Dalam politik, bagi menjatuhkan seseorang pemimpin, akan ada pelbagai konspirasi dalam dan luar negara kerana ini semua nak menjatuhkan Umno sebagai parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara.

"Namun kita semua perlu jelas bahawa negara kita aman dan menjurus kepada kejayaan kerana dipimpin oleh parti keramat Umno kita. Bersama-samalah kita faham kepada situasi politik di ketika ini," katanya lagi.