Hasrat Anwar telah disampaikan kepada Pak Lah

Arfaeza A Aziz        

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi secara rasmi pejabat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menemui Perdana Menteri secepat yang mungkin.

Pembantunya, Azmin Ali berkata beliau telah menghubungi Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Datuk Mohamad Thajudeen Abdul Wahab semalam untuk menyampai hasrat Anwar itu.

"Beliau berjanji untuk memberitahu Perdana Menteri mengenai perkara itu. Katanya, beliau akan menghubungi saya sebaik sahaja mendapat sebarang pengesahan mengenainya," katanya ketika dihubungi.

Mengenai komen Abdullah dalam akhbar Berita Harian hari ini yang menyatakan Anwar belum lagi menghubungi pejabatnya berhubung perkara tersebut, Azmin berkata kemungkinan ketika itu, Perdana Menteri belum lagi diberitahu mengenainya.

"Kemungkinan Datuk Thajudeen tidak dapat memberitahu Perdana Menteri mengenainya. Tetapi saya menjangka, sebagai seorang pegawai paling kanan, beliau tidak menghadapi masalah untuk bertemu dengan Perdana Menteri."

Setibanya dari Arab Saudi Ahad lalu, Anwar telah menyuarakan hasratnya untuk menemui Abdullah bagi mengucap terima kasih kerana mengembalikan kebebasan kepada bidang kehakiman.

Anwar dibebaskan pada 2 September lalu apabila Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan dan hukuman sembilan tahun penjara bagi kesalahan liwat.

Selepas itu, beliau berlepas ke Jerman untuk menjalani pembedahan terhadap tulang belakangnya di sana dan kemudiannya ke Mekah untuk mengerjakan ibadat Umrah.

Jemputan

Sementara itu, Nurul Izzah, anak sulung Anwar memberitahu, jadual harian bapanya begitu ketat dengan temujanji termasuk wawancara dengan pihak media dan jemputan untuk berbuka puasa.

"Di samping itu, ramai yang mengunjungi rumah kami untuk menemui papa. Ya, walaupun keletihan, beliau melayan para penyokong dengan hati yang terbuka," tambahnya.

Hari ini, Anwar akan berbuka puasa di rumah bapanya di Bangi. Beliau kemudiannya akan ditemani oleh Timbalan Mursyidur Am PAS, Datuk Harun Din untuk bersembahyang terawih di Surau An-Nur di situ.

Anwar dijadual bersembahyang terawih di Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar esok.

Pada hari Jumaat, Anwar bercadang pulang ke kampungnya di Ceruk To'kun yang pertama kali sejak enam tahun lalu.

Beliau akan bersembahyang Jumaat di Masjid Seberang Jaya dan dijangka mengadakan pertemuan dengan masyarakat kaum Cina di Dewan Perhimpunan Cina di situ, sebelum berbuka puasa dan bersembahyang terawih di Masjid Kubang Semang.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In