ROS: AMANAH dilarang anjur aktiviti, parti belum lulus
Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Parti Amanah Negara selagi pertukaran nama belum diluluskan, kata Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Ketua Pengarahnya Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata larangan itu adalah selaras dengan ketetapan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.
Katanya RoS menerima notifikasi daripada Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia berhubung pelantikan baharu anggota Jawatankuasa Pusat yang diputuskan melalui Kongres Luar Biasa yang diadakan 25 Ogos lepas.
"Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa baru ini, adalah terdiri daripada bekas ahli-ahli Parti PAS yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2013-2015," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya permohonan parti itu untuk menukar nama kepada Parti Amanah Negara masih belum diluluskan setakat ini.
Mohammad Razin berkata mana-mana pertubuhan atau parti dan pemegang jawatan yang didapati melanggar larangan itu boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000.
Pada 31 Ogos lepas, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (HB) Mohamad Sabu mengumumkan pembentukan Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan penjenamaan semula Parti Pekerja-pekerja Malaysia untuk digunakan sebagai nama rasmi wadah politik HB.
Bekas timbalan presiden PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata parti itu akan dilancarkan pada 16 September ini.
HB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.
Sebelum ini, gerakan itu berhajat untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam (PPI) sebagai nama rasmi parti politiknya, namun RoS menolak permohonan itu.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir dalam reaksinya melahirkan rasa terkejut kerana hanya mendapat tahu maklumat berkenaan daripada pihak media yang mendapatkan reaksinya.
"Untuk makluman, kita telah menghantar permohonan menukar nama, logo, bendera dan beberapa pindaan struktur parti kepada pihak ROS," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yakin RoS akan menjalankan tugas secara profesional dan beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat ROS dengan segera untuk memberi penjelasan.
-Bernama

