Demo jalanan bukan cara cintakan negara
Demonstrasi jalanan seperti perhimpunan BERSIH 4 bukan cara yang sederhana untuk menunjukkan cinta kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Bila kita cintakan negara, kita tidak melakukan sesuatu yang melampau. Kita akan kembali ke jalan pertengahan dan menjadi orang yang rasional.
"Demonstrasi jalanan yang menghina pemimpin, bukan jalan yang sederhana," katanya.
Beliau berkata demikian dihadapan kira-kira lebih seribu ahli Makkal Sakti di ibu pejabat Bank Rakyat, Kuala Lumpur petang ini.
Selain itu, Najib yang juga pengerusi BN itu turut mengucapkan terima kasih kepada parti Makkal Sakti - yang mesra BN kerana tidak menyokong perhimpunan berkenaan.
"Bila saya lihat anda semua, anda tidak berada dalam gambar BERSIH 4," kata Najib sambil menerima tepukan gemuruh hadirin.
Sebelum itu, Presiden Makkal Sakti RS Thanenthiran mengkritik perhimpunan BERSIH 4 dengan menyifatkannya sebagai "kurang akar".
Perhimpunan yang berlangsung 29 dan 30 Ogos itu dihadiri sekurang-kurangnya 100,000 orang, dan di antaranya menuntut urustadbir kerajaan yang baik dan mendesak Najib meletakkan jawatan di tengah-tengah isu dakwaan rasuah.

