5 jemaah M'sia telah dikenal pasti terkorban

   

Seorang lagi jemaah haji Malaysia disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas, menjadikan lima mayat jemaah negara ini telah dikenalpasti.

Jemaah Malaysia yang terbaru dikenal pasti meninggal dunia ialah Zainun Taha, 69, lapor Bernama .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini dilaporkan berkata seorang lagi jemaah telah ditemui selamat.

Empat lagi jemaah Malaysia yang terkorban dalam kejadian itu ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku.

Semasa sidang media lewat malam tadi, Jamil Khir juga mengesahkan pihak Tabung Haji juga telah menemui semula seorang jemaah Malaysia, yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu, Abdul Muluk Ishak, 71, dari Pantai Remis, Perak.

Sehingga kini tiga lagi jemaah haji yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah) dan Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor).

Jamil Khir berkata ketiga-tiga jenazah itu dikenal pasti pada 6 petang (waktu Arab Saudi) melalui paparan gambar serta barangan pengenalan jenazah di rumah mayat.

"Ketiga-tiga jenazah telah dikenal pasti oleh waris-waris mereka di Tanah Suci," katanya.

Mengenai Abdul Muluk, katanya jemaah haji itu terselamat dalam insiden berkenaan dan dilaporkan tersasar ke kediaman jemaah haji Thailand pada hari kejadian serta beliau dalam keadaan sihat.

"Beliau yang dikatakan seorang yang mudah lupa dihantar ke pejabat agensi pengurusan haji tempatan (Andalusia) oleh pihak Muasassah Thailand sebelum dibawa ke Ibu Pejabat TH di Mekah," katanya.

Katanya semua pihak amat berdukacita, bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga Allahyarham dan menasihati anggota keluarga untuk

bersabar dan tabah dengan dugaan ini.

Beliau berkata Kerajaan Arab Saudi menempatkan kesemua jenazah di rumah mayat Muaissem, yang terletak berdekatan dengan Mina, Makkah.

Tabung Haji akan terus berusaha sedaya-upaya untuk terus mencari mangsa-mangsa di hospital berdekatan serta memastikan segala proses-proses pengecaman diselesaikan secepat mungkin, kata Jamil Khir.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In