PAS hari ini mengecam tindakan pihak yang membakar patung menyerupai pemimpin parti pembangkang di Kelantan Ahad lalu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS menyifatkankannya sebagai amalan yang tidak bertamadun, malah tidak menyerupai masyarakat Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, PAS secara konsisten tidak bersetuju dan tidak akan bersekongkol dengan sebarang tindakan yang boleh mengundang ketegangan, membenih kebencian dan mencemari keharmonian masyarakat.

"PAS mengecam perlakuan pihak tertentu yang bertindak membakar patung menyerupai pemimpin parti pembangkang yang didakwa berlaku di Kota Bharu, Kelantan.

"Amalan ini bukan sahaja tidak bertamadun, malah bukan merupakan budaya masyarakat Malaysia," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Justeru itu, ahli parlimen Kota Bharu itu berkata, PAS menyeru supaya pihak parti pemerintah mengawal ahli mereka dan penyokong masing-masing demi masa depan yang lebih optimis dan realistik.

Ahad lalu, patung mirip Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dibakar hingga rentung. Video acara itu dimuat naik ke Internet.

Acara itu dipercayai dibuat sempena perhimpunan Himpunan Rakyat Bangkit yang akan diadakan esok.

Ekoran itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat tindakan membakar patung tersebut.