Dua komando dari Kem Rejimen 21 Komando Sungai Udang, Melaka dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas IS, Ogos tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Zuraidi Shafiq Zulkeflee, 27, dan Muhammad Adibzakir Zahri, 28, menganggukkan kepala memahami pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mereka didakwa menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas itu di Markas 21 Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, dekat Mersing pada Ogos 2014.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130G(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mazana menetapkan kes tersebut disebut semula pada 21 Oktober depan di Mahkamah Majistret Mersing.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi'uddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib.

Sementara itu seorang anggota tentera dihadapkan di Mahkamah Majistret di Gerik hari ini atas pertuduhan memiliki 11 bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas IS.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada prebet Mohammad Rosdan Mohammad Khir, 24, yang berasal dari Mahang, Kulim, Kedah, dan merupakan anggota tentera Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Dia didakwa memiliki 11 buku iaitu Daulatul Islam Baaqiyah, Tentera Fisabilliah (bangkitlah wahai umat Islam), Bendera Hitam Lailahaillah End The Word Of Allah Is The Highest, Ajnad As-Syams dan Keep Calm and Support Jihad, Buku Bendera Hitam Kami Pembela Daulah Islam, Jihad Wa Harb Nozun El Taghout, Global Tawheed Working To Establish The Right Of Allah SWT, Jihad Jalan Kami Syahid Cita-Cita Kami, Kami Berdiri Bersama Palestine dan Daulah Islamiah-Alkhulafa' a'la manhaj anna bawiyah.

Tertuduh yang memakai baju kemeja berkotak merah biru dan berseluar jeans biru didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Gerik, pada 10.20 pagi 19 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan tersebut, jika sabit kesalahan.

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho menetapkan 13 Oktober untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faridza Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Rosdan tiba di mahkamah diiringi pasukan Unit Tindakan Khas Bukit Aman kira-kira jam 11.30 pagi.

- Bernama