PAS: Tak perlu jawab orang yang dah pergi
PAS mengambil pendirian untuk tidak mengulas mana-mana kritikan yang dilemparkan anggotanya yang memilih untuk keluar parti.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata “tohmahan” dan respon kurang enak itu hanyalah alasan bagi mewajarkan tindakan mereka keluar parti.
Anggota Parlimen Kuala Nerus itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas anggota jawatankuasa (AJK) PAS Khalid Samad bahawa parti itu bukan lagi platform sesuai untuk mengangkat martabat Islam.
“Tidak perlu ulas tuduhan Khalid Samad sebab beliau sudah berada di luar parti. Orang yang keluar parti akan mencari pelbagai alasan untuk mewajarkan beliau keluar parti.
“Itu hak beliau. Kita tidak perlu respon semua tohmahan dan tuduhan. Beliau lebih tahu apa di dalam PAS sebab beliau asalnya orang PAS.
“Itu hanya alasan yang cuba direka mereka yang keluar dari parti. Teruskan pendirian mereka. Dan kami di dalam PAS akan teruskan perjuangan di dalam parti,” katanya kepada pemberita selepas sidang media khas Pelancaran Program “Himpunan 60 Ribu” (H60K) di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Siku dan lutut
Terdahulu anggota Khalid dilapor menolak dakwaan bahawa penubuhan AMANAH didorong perasaan tamak kuasa, sebaliknya menjurus kepada penolakan “ pendekatan siku dan lutut ” yang tidak lagi relevan.
Kenyataan itu dilihat menyindir ucapan wakil Dewan Ulama Nasruddin Hassan dalam muktamar lalu ketika mengkritik DAP.
"Saya rayu janganlah cabar kesabaran kami. Walaupun kami dari Dewan Ulama yang rata-ratanya memakai kopiah, serban, berjubah, tetapi ingat dalam jubah ini ada siku dan lutut yang masih kita belum guna lagi," katanya.
Khalid sebelum ini menjelaskan AMANAH ditubuhkan selepas PAS bukan lagi platform sesuai untuk mengangkat martabat Islam.
Bekas pemimpin PAS yang disingkirkan pada pemilihan parti itu Jun lalu bertindak mengambil alih Parti Pekerja-Pekerja Malaysia untuk dijenamakan semula kepada AMANAH.
AMANAH diketuai pengerusi penaja, Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS.

