Pembenihan hujan diharap selesaikan isu air Johor
Menteri Besar Datuk Mohamed Khaled Nordin berharap operasi pembenihan awan yang dijadualkan hujung bulan ini dapat menstabilkan paras air di Empangan Sungai Layang dan Sungai Lebam, sekali gus menyelesaikan isu bekalan air di Johor.
Beliau berkata operasi itu penting bagi memulihkan bekalan air yang meruncing, khususnya membabitkan hampir keseluruhan Pasir Gudang dan sebahagian daripada Bandaraya Johor Bahru.
"Saya berharap orang ramai yang terbabit dengan penjadualan bekalan air di kawasan-kawasan terbabit supaya bersabar dan sentiasa menggunakan bekalan air yang ada dengan berhemah.
"Diharapkan operasi pembenihan awan itu kelak membolehkan hujan turun di kawasan-kawasan tadahan air terbabit dan mengembalikan kestabilan paras air," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di di Kota Iskandar, hari ini.
Beliau berkata sistem penjadualan bekalan air yang dijalankan oleh Syarikat Air Johor Sdn Bhd (SAJ) semenjak lebih sebulan yang lalu telah memanjangkan tempoh bekalan air di empangan-empangan terbabit.
Bekalan air itu bagaimanapun masih perlu dikawal selia pada tahap berjaga-jaga, ekoran taburan hujan tidak menentu serta ia tidak turun di kawasan-kawasan tadahan air.
Sumber bekalan air mentah di Sungai Johor juga perlu ditambah bagi memastikan kestabilan bekalan air.
Bagi tujuan itu, SAJ dijangka melaksanakan kerja-kerja pemindahan air dari Sungai Tiram ke Sungai Johor, 1 Oktober ini.
Kerajaan negeri juga sedang mengkaji langkah menghentikan buat sementara sistem penjadualan bekalan air selama tiga hari, iaitu pada 23, 24 dan 25 September ini.
Ia bagi membolehkan rakyat menyambut cuti Aidiladha dan cuti persekolahan dengan lebih selesa.

