Najib: ‘Perkahwinan’ kita ini bukan mudah
Sempena sambutan Hari Malaysia esok, perdana menteri mengingatkan bahawa ‘perkahwinan’ dan penyatuan rakyat bawah satu bendera bukan perjalanan mudah.
Ketika itu, tambah Datuk Seri Najib Razak, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan halangan termasuk dari luar negara.
“Mengimbas kembali, terbuktilah, keputusan pemimpin-pemimpin tempatan dan saudara-saudari dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai kita 52 tahun yang lalu merupakan langkah yang menepati impian kita semua,” katanya.
Menulis dalam blognya hari ini, Najib berkata Malaysia berjaya melakar identiti sebagai sebuah negara makmur yang terdiri daripada budaya dan adat resam berbeza.
“Negara manakah yang dapat menyatukan masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum seperti Malaysia?” soalnya.
“Kita ada orang-orang Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, Melanau, Kadazandusun, Bajau, Murut, dan sebagainya.
“Perbezaan di antara kita tidak menghalang kita hidup secara harmoni malah ia menjadi keunikan yang terserlah.”
Impian pembangunan seimbang
Beliau juga berkata, sebagai perdana menteri dan presiden BN, beliau telah melipatgandakan pembangunan Sabah dan Sarawak sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada tahun 2009.
Beliau berkata peruntukan besar diluluskan saban tahun untuk kedua-dua negeri itu
khususnya bagi pelbagai program “berpaksikan rakyat” seperti menyediakan bekalan air dan acara untuk luar bandar.
Beliau juga membangkitkan kemudahan lain seperti geran perladangan komoditi sawit dan getah agar rakyat dapat berdikari dan mempunyai sumber pendapatan stabil dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Yang disenaraikan tadi hanyalah sebahagian daripada program kerajaan yang dilaksanakan untuk semua tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
“Tanpa keraguan, saya akan tetap meneruskan dasar yang memberikan peluang secara sama rata kepada setiap rakyat Malaysia agar dapat bersama-sama menikmati kemakmuran dan pembangunan Malaysia.”
Najib berkata beliau mempunyai impian untuk melihat pembangunan seimbang dan saksama dalam usaha kerajaan mengurangkan jurang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

