Tan Kok Wai kalah saman dengan Jenice Lee
Pemangku pengerusi kebangsaan DAP Tan Kok Wai hari ini kalah dalam kes saman fitnahnya terhadap bekas anggota Dewan Undangan Negeri Teratai, Jenice Lee Ying Ha.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'hara memutuskan bahawa dua kenyataan yang dibuat oleh Lee terhadap Tan pada 3 Julai tahun lepas tidak berbaur fitnah, merendahkan reputasi plaintif atau mendedahkan plaintif kepada kebencian.
Hakim berkata Tan juga gagal untuk membuktikan kebarangkalian yang munasabah terhadap kedua-dua kenyataan dan memerintahkannya membayar kos RM50,000 kepada Lee.
"Selepas meneliti penghakiman sebelumnya dan kedua-dua kenyataan, mahkamah mendapati bahawa kedua-dua kenyataan tidak berbaur fitnah. Oleh yang demikian, mahkamah membuat keputusan dengan memihak kepada defendan (Lee)," kata hakim.
Pada 15 Julai tahun lepas, Tan memfailkan saman terhadap Lee, mendakwa bahawa beliau telah menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya dan telah menghantar mesej itu kepada semua media menggunakan telefon bimbitnya serta menerbitkannya dalam laman Facebook pada 3 Julai 2014.
Kenyataan tersebut ialah berhubung dengan apa yang dikatakan larangan media berkaitan satu lagi kes saman fitnah yang difailkan oleh Lee terhadap Tan.
Dalam pernyataan tuntutan, Tan berkata kenyataan itu, antara lain, membawa maksud bahawa beliau mempunyai hasrat untuk menafikan hak media kepada laporan mengenai kes-kes kepentingan awam dan bahawa dia mempunyai sesuatu untuk disembunyikan, tidak boleh dipercayai dan tidak sesuai untuk menyandang jawatannya.
Tan mengulangi, beliau tidak pernah menggunakan atau mengarahkan peguamnya untuk menghentikan media daripada melaporkan mengenai kes saman Lee.
Kedua-dua plaintif dan defendan hadir di mahkamah hari ini.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Tan berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.
- Bernama

