Anggota Tentera Darat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan seiring dengan perkembangan teknologi peralatan serta kaedah mengawal dan menyuraikan rusuhan.

Panglima Latihan Tentera Darat Mej Jen Datuk Suhaimi Mohd Zuki berkata pendedahan kepada penggunaan senjata tidak membunuh (NLW) adalah penting bagi membolehkannya digunakan ketika berdepan situasi rusuhan atau perhimpunan haram.

"Pengalaman menggunakan peralatan sewaktu latihan medan NLW memberi peluang kepada anggota merasai keadaan sebenar sekiranya menghadapi situasi itu.

"Mereka juga didedahkan dengan kaedah tertentu yang boleh digunakan untuk menyuraikan rusuhan atau perhimpunan haram," katanya pada majlis penutup latihan medan NLW di Kem Segenting di Port Dickson, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Memerintah Kor Marin Barat Amerika Syarikat, Brig Jen Edward Banta.

Latihan medan NLW selama sembilan hari bermula 7 Sept lepas melibatkan pasukan dari Tentera Darat bersama Kor Marin Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai latihan bersama itu, Suhaimi berkata ia bagi melatih dan meningkatkan kemahiran anggota dengan aset sedia ada apabila dikerah membantu pihak keselamatan awam untuk menyuraikan rusuhan yang berlaku dalam situasi darurat.

Seramai 120 peserta terlibat dalam latihan itu dan mereka telah diiktiraf sebagai jurulatih NLW di pasukan masing-masing.

Sempena majlis penutup itu, beberapa demonstrasi kaedah menyuraikan rusuhan dipertontonkan termasuk formasi rempuhan rusuhan dan teknik menyelamat kecederaan serta kaedah konvoi anti rusuhan.

Sementara itu, Suhaimi turut merasmikan seminar NLW bertujuan untuk berkongsi teknologi peralatan dan kaedah bagi mengawal serta menyuraikan rusuhan.

Seramai 59 peserta berpangkat Lt Kol ke atas dari Amerika Syarikat, Kemboja, Vietnam, Filipina, Brunei, Indonesia, Thailand, Nepal, Mongolia, Tongo, Maldives Malaysia menyertai seminar tiga hari itu.

Seminar itu merangkumi taklimat pakar kaedah subjek menjurus kepada undang-undang hak asasi antarabangsa dan perlindungan orang awam daripada perspektif operasi pengaman dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

- Bernama