Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia perlu memindahkan operasinya ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) daripada lokasi semasanya di Terminal 2.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata ini berikutan kawasan Terminal 2 tidak mempunyai ruang lagi untuk peluasan.

"Ia adalah kawasan yang terhad, bermakna tiada ruang lagi untuk meluaskan terminal tersebut, kiri atau kanan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Terminal 1 KKIA di Kota Kinabalu semalam.

Terminal 1 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menyatakan dalam ucapannya bahawa trafik di Terminal 2 sesak dengan peningkatan jumlah penumpang yang tiba di terminal itu.

Badlisham berkata sebagai sebahagian daripada sinergi bagi operasi lapangan terbang tersebut, Terminal 2 akan ditukar untuk operasi kargo dan penerbangan awam.

"Ramai orang mahu menggunakan ruang itu (Terminal 2) bukan sahaja untuk operasi kargo, tetapi juga pesawat persendirian yang memerlukan kemudahan untuk meletak pesawat.

"Hanya terdapat sembilan ruang meletak pesawat di Terminal 2, manakala di sini (Terminal 1) terdapat 25 ruang, pada masa ini," katanya sambil menambah ruang meletak pesawat di Terminal 1 boleh ditingkatkan kepada 16 ruang lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pengendali syarikat penerbangan komersial perlu dilakukan di Terminal 1 dalam usaha memaksimumkan penggunaan Terminal 2bagi manfaat ekonomi Sabah.

"Kini, kami berharap Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan tegas untuk semua syarikat penerbangan berpindah dan menggunakan kemudahan yang disediakan di Terminal 1," katanya.

Badlisham juga berkata terdapat pelan induk untuk mengkaji pengembangan KKIA bagi menampung 16 juta penumpang setahun berbanding sembilan juta pada masa ini.

"Perkara ini dalam perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah selama bertahun-tahun dan pendirian kami adalah lebih baik mempunyai sebuah terminal bersepadu.

"Ia mengenai hubungan yang membantu lebih ramai penumpang datang ke hab seperti Sabah," katanya.

Badlisham berkata MAHB juga akan menyediakan RM10 juta untuk Lembaga Pelancongan Sabah melaksanakan aktiviti pemasaran dan promosi dengan agresif mengenai pelancongan di negeri ini bersama syarikat penerbangan.

- Bernama