Utusan dakwa Mkini, TMI amal dwistandard
Utusan Malaysia membidas portal berita Malaysiakini dan The Malaysian Insider (TMI) kerana didakwanya tidak menyokong hak masyarakat Melayu untuk berhimpun secara aman.
Dalam edisi dalam taliannya, akhbar milik Umno itu juga mendakwa bahawa kedua-dua portal berita itu mengamalkan 'dwistandard' dalam laporan mereka mengenai perhimpunan baju merah atau 'Himpunan Rakyat Bersatu' semalam.
"Pendirian Malaysiakini dan The Malaysian Insider itu agak mengelirukan kerana kedua-duanya menyebelahi Bersih 4.0 yang melanggar undang-undang namun pada masa sama, tidak mengiktiraf hak orang Melayu untuk berhimpun secara aman," katanya.
Antara lain, katanya, liputan dua portal berita tersebut memainkan aspek-aspek negatif memperkecilkan perhimpunan 16 September itu.
Utusan mendakwa, Malaysiakini dan The Malaysian Insider seolah-olah cuba mewujudkan persepsi palsu kononnya Himpunan Rakyat Bersatu bertujuan mencetuskan suasana huru-hara serta ketegangan kaum di negara ini.
Kira-kira 50,000 peserta berbaju merah membanjiri pusat bandar Kuala Lumpur semalam dan seterusnya berkumpul di Padang Merbok.
Ia diadakan sebagai tindak balas kepada perhimpunan BERSIH 4 yang diadakan menjelang Hari Merdeka.

