Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jabatan AG tidak takut ancaman
Diterbitkan:  Sep 17, 2015 11:00 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Jabatan Peguam Negara menggesa pihak polis untuk menyiasat secara terperinci kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan jabatan itu, Anthony Kevin Morais bagi membolehkan pelakunya didakwa.

Dalam satu kenyataan menerusi e-mel yang dihantar kira-kira jam 11.42 malam tadi, Jabatan Peguam Negara mahu melihat keadilan dan kebertanggungjawaban dalam kes berkenaan dilakukan.

"Sementara menghormati pemisahan fungsi antara penyiasat dan pendakwa, kami dengan tegas menggesa pihak polis untuk menyiasat secara menyeluruh kes ini bagi membolehkan petualangnya dikenal pasti, ditemui dan didakwa berlandaskan pematuhan undang-undang sepenuhnya.

"Ini sekurang-kurangnya apa yang dapat jabatan ini lakukan untuk membalas jasa salah seorang pegawai kami yang telah berkhidmat kepada negara dengan rasa bangga, profesional, penuh dedikasi serta komited sama ada di dalam dan luar negara.

"Encik Morais sesungguhnya melambangkan perumpamaan melakukan pendakwaan tanpa rasa takut dan memihak sepanjang kariernya yang panjang dan cemerlang," kata jabatan tersebut.

Jabatan Peguam Negara turut menegaskan bahawa ia tidak akan merasa takut dengan tindakan pengecut dan mengancam ke atas mana-mana pegawainya.

"Peraturan undang-undang tidak akan dibenar untuk merosakkan sekiranya Malaysia mahu menegakkan demokrasi berparlimen," katanya.

Jabatan tersebut menyampaikan takziah kepada keluarga Morais di atas kematiannya dalam melaksanakan tugas rasmi demi menegakkan keadilan dan undang-undang.

"Kehilangannya amat dirasai buat jabatan sama ada secara profesional atau peribadi dalam kalangan sahabat dan rakan-rakan sekerjanya di sini," katanya.

Pegawai kanan jabatan dan rakan-rakan Morais sentiasa bersama keluarga mendiang dalam keadaan sukar ini untuk memberi sokongan dan bantuan apa yang terdaya, kata kenyataan jabatan.

Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta di sini pada 4 Sept untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu yang memakai nombor pendaftaran WA 6264 Q.

Setelah hilang sekian lama, semalam mayat beliau ditemui di dalam tong berisi konkrit berhampiran Sungai Klang di Persiaran Subang Mewah, taman perumahan USJ1.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS