'Heret pembunuh Morais ke mahkamah segera'
PAS dan DAP mendesak pihak berkuasa mengheret pembunuh Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais ke mahkamah dengan segera.
Mereka itu menuntut pihak berkuasa menyiasat pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan itu tanpa "takut dan pilih kasih" supaya penjenayah terbabit diadili secara telus dan penuh integriti.
Berdasarkan kronologi kes pembunuhan itu Morias diculik pada 4 September lalu, Ketua Penerangan PAS Nasudin Hassan menyifatkan ia sebagai ala gangster, berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan umum.
"PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang bertindak agresif serta pantas dalam menyiasat kehilangan mangsa sehingga menjumpai mayatnya yang menyayat hati tersebut.
"Kita memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengheret penjenayah sebenar ke muka pengadilan dengan segera," katanya dalam satu kenyataan.
Nasrudin itu berkata sebelum ini beberapa kes bunuh melibatkan individu tertentu Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini Mohamad dan Hussain Ahmad Najadi yang dikaitkan dengan isu politik.
MP Temerloh juga mahu karajaan memandang serius kepada kenyataan adik mendiang, Datuk Richard Morais semalam yang mendakwa bahawa pembunuhan kejam abangnya berkait dengan siasatan kes yang beliau sedang uruskan akhir-akhir ini.
"Justeru itu, PAS berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan tugas tanpa takut dan pilih kasih supaya kes-kes seumpama ini dapat dibicarakan secara telus dan penuh integriti. Akhirnya, kebenaran tetap akan mengatasi kebatilan," katanya.
Setelah hilang sejak awal September lalu, semalam mayat Morais, 55, ditemui di dalam tong berisi konkrit berhampiran Sungai Klang di Persiaran Subang Mewah, taman perumahan USJ1.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching pula bersetuju dengan Pejabat Peguam Negara supaya polis menyiasat secara menyeluruh kes itu bagi membolehkan petualangnya dikenal pasti, ditemui dan didakwa berlandaskan pematuhan undang-undang sepenuhnya.
"Dalam perlu diheret ke muka pengadilan secepat mungkin. Kita tidak boleh membenarkan pembunuhan dahsyat itu melemahkan semangat pegawai penguatkuasa.
"Keselamatan pegawai undang-undang perlu didukung oleh peringkat atasan, kerana kecekapan mereka untuk bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih adalah kunci keadilan," katanya.

