Situasi bekalan air terawat di kawasan Lembah Klang kini semakin meruncing berikutan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino yang dialami negara ketika ini.

Sehubungan itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) kini dalam keadaan bersiap siaga bagi membantu pengguna menghadapi kemungkinan catuan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya cuaca panas dan fenomena El Nino yang sedang melanda negara berterusan.

SYABAS dalam satu kenyataan hari ini berkata berdasarkan situasi semasa, paras rizab bekalan air terawat sedia ada berada pada tahap di bawah satu peratus dan menjadi negatif semasa permintaan puncak sehingga boleh menyebabkan kekerapan gangguan air dan tekanan rendah.

"Fenomena El Nino menyebabkan kemarau panjang dan kekurangan bekalan air mentah di sungai dan empangan sekali gus pengeluaran air terawat akan berkurangan.

"Jika situasi ini berlaku, pengguna akan berdepan kemungkinan catuan bekalan air, sama seperti yang terpaksa dilaksanakan kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) seperti pada 1998 dan tahun lalu," kata SYABAS.

Dalam kenyataan sama, SYABAS menjelaskan pada masa ini berdasarkan keupayaan sistem saluran paip utama, kapasiti boleh agih air terawat yang ditetapkan SPAN untuk diagihkan SYABAS kepada pengguna adalah pada kadar purata 4,686 juta liter sehari (JLH), sedangkan kadar pengeluaran air terawat daripada kesemua 34 loji rawatan air pada keadaan cuaca biasa di bawah kendalian empat syarikat operator bagi bulan Ogos ialah 4,716 JLH.

"Ini menunjukkan purata penggunaan bekalan air terawat pada masa kini melebihi 30 JLH atau -0.64 peratus berbanding kapasiti air boleh agih terawat. Kadar rizab bekalan air yang selesa diperlukan ialah 15 peratus," kata SYABAS.

SYABAS juga memaklumkan kebanyakan loji-loji rawatan air utama tidak dapat lagi menambah pengeluaran air terawat kerana operasi masing-masing sudah mencapai tahap maksimum dan melebihi kapasiti reka bentuk iaitu beroperasi dalam keadaan berlebihan, namun bekalan air terawat masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan permintaan pengguna.

Justeru, bagi menghadapi kemungkinan pengurangan air terawat yang dapat diagihkan oleh SYABAS kepada pengguna, SYABAS sentiasa bersiap sedia dengan beberapa langkah perlu sekiranya keadaan tersebut berlaku.

Antaranya ialah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi mengurus dan mengendali bantuan bekalan air kecemasan menggunakan lori-lori tangki dan tangki air statik.

"Sejumlah 630 tangki air statik dan 66 lori tangki air dalam keadaan siap sedia untuk digerakkan serta-merta sekiranya diperlukan semasa gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku bagi bantuan air kecemasan.

Selain itu, Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) terus beroperasi 24 jam sehari dengan tenaga kerja tambahan digerakkan dari pelbagai jabatan, seksyen dan unit lain bagi membantu Puspel berfungsi sebagai pusat interaksi dengan pengguna selain sebaran maklumat melalui laman web, aplikasi telefon pintar MySYABAS dan kenyataan media.

Pemantauan berterusan paras kolam air SYABAS secara 24 jam menggunakan sistem telemetri dan Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data (SCADA) di Pusat Kawalan Operasi dan pemeriksaan serta rondaan semua tangki dan kolam air setiap hari bagi memastikan sebarang limpahan berlaku.

SYABAS juga akan melakukan pemantauan berterusan jajaran paip agihan dan pemasangan lain bagi memastikan tiada kerosakan dan kebocoran yang boleh menjejaskan bekalan air selain kontraktor lantikan yang sentiasa dalam keadaan tunggu sedia bagi kejadian paip bocor atau pecah dapat dibaiki segera.

"Jika catuan bekalan air dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dengan kelulusan SPAN, SYABAS akan melaksanakan pelan ini dengan menggunakan sumber dan aset dalaman SYABAS.

"Sekiranya kawasan yang terlibat melebihi 100,000 akaun pengguna, pelaksanaan pelan catuan perlu dikoordinasi oleh pihak kerajaan persekutuan terutamanya SPAN dengan penglibatan secara langsung agensi-agensi berkaitan," katanya.

- Bernama