PAS telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Naib Presidennya Datuk Dr Hassan Ali untuk merangka program dan strategi politik untuk meningkatkan kembali prestasi parti itu dalam pilihanraya umum akan datang.

Ketika dihubungi, Hassan berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan Isnin lalu selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu mengesahkan laporan post-mortem yang menyenaraikan punca kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya lalu.

Katanya, jawatankuasa sepuluh anggota itu ditugas untuk mengkaji perakuan-perakuan dalam laporan post-mortem tersebut yang disediakan oleh jawatankuasa yang diketuai oleh seorang lagi Naib Presiden Datuk Mustafa Ali.

"Sasaran kami ialah untuk menyiapkan tugas tersebut dalam tempoh beberapa minggu ini. Saya rasa ianya satu jangka waktu yang munasabah untuk menyiapkan strategi dan satu pelan bertindak yang berkesan. Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada 8 November ini kerana saya tidak mahu berlengah-lengah tugas ini. Jika boleh kami mahu menyiapkannya sebelum tempoh tarikh akhir dua bulan yang diberikan," katanya.

Menurut Hassan, semua perakuan yang terkandung dalam laporan post-mortem itu adalah dalam rangka umum yang akan diterjemahkan kepada tindakan-tindakan khusus untuk dilaksanakan oleh parti.

"Pada asasnya, kami telah menterjemahkan perakuan-perakuan itu kepada sesuatu yang boleh dilaksanakan. Jawatankuasa ini juga telah diberi tugas untuk mengawasi keberkesanan pelaksanaannya dan menetapkan tempoh sasaran bagi setiap program atau projek yang dilaksanakan," katanya.

Laporan sulit

Beliau berkata, sebagai permulaannya, jawatankuasa tersebut telahpun merangka pelan kasar tetapi beliau enggan mengulas lanjut kerana menurutnya kandungan 186 halaman laporan post-mortem itu telah dikategorikan sebagai dokumen sulit.

"Laporan tersebut hanya diedarkan kepada anggota Jawatankuasa Pusat. Kami tidak boleh mendedahkan isu kandungan laporan itu kepada pihak media," kata Hasan.

Katanya, sebahagian daripada laporan itu akan didedahkan kepada perwakilan parti yang akan menghadiri munaqasyah (perhimpunan) tertutup yang dijadualkan berlangsung pada 18 dan 19 Disember depan di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Hassan juga melahirkan keyakinan bahawa jawatankuasa tersebut akan dapat melaksanakan dengan baik tugas yang dipertanggungjawabkan oleh pihak parti kepadanya.

"Menjana idea adalah mudah tetapi untuk memastikan ia dapat dilaksanakan bukanlah sesuatu yang mudah. Itulah matlamat utama kami: supaya semua program dan pelan yang dirancang itu dapat dilaksanakan oleh pihak parti," katanya.

Memandangkan sebahagian besar perakuan tersebut membabit perubahan, maka beliau berkata, satu lagi cabaran terhadap jawatankuasa tersebut ialah memastikan semua perancangannya dapat diterima oleh para pemimpin dan ahli-ahli parti tersebut.

"Pendekatan dan strategi tertentu yang sudah diterima, mungkin terpaksa diubah. Jadi, mungkin ia tidak akan disenangi oleh sesetengah pihak. Mungkin ada halangan dari ahli-ahli, tetapi saya tidak merasakan ianya satu masalah besar," tambahnya.

Bantahan dari orang lama

Sementara itu, menurut sumber-sumber parti itu, jawatankuasa tersebut pastinya akan berdepan dengan halangan dan bantahan daripada pemimpin-pemimpin yang sudah selesa dengan strategi dan program yang dilaksanakan oleh pihak parti sekarang.

"Pengaruh orang lama masih kuat dalam parti, tambahan pula mereka memang lantang bersuara. Mereka mungkin merasa tidak selesa dengan sebarang perubahan, dan mereka juga mungkin tidak akan teragak-agak untuk bersuara apabila mereka merasa tercabar," kata seorang ahli parti itu dari Lembah Kelang.

Menurutnya lagi, laporan post-mortem tersebut disahkan oleh Jawatankuasa Pusat selepas ianya dibahaskan dalam suasana panas.

Beliau juga mendakwa terdapat percubaan daripada seorang pemimpin kanan PAS untuk memperkecil-kecilkan laporan tersebut.

"Nasib baik masih ada beberapa kerat pemimpin dalam Jawatankuasa Pusat yang berani menegur beliau kerana alasannya adalah lemah. Beliau adalah salah seorang daripada pemimpin lama yang percaya jika parti itu terus berpegang pada dasar Islam, Allah akan membantu parti mencapai kejayaan. Jelas sekali beliau tidak faham mengenai perbezaan antara dasar dan strategi," katanya.

Kenyataan pemimpin

Sementara itu, satu lagi sumber mendedahkan bahawa jawatankuasa berkenaan dijangka menghadapi kesukaran untuk menghasilkan program dan memberi imej baru kepada sesetengah pemimpin parti itu yang tidak diterima baik oleh rakyat.

"Kami diberitahu bahawa kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin terbabit menjadi salah satu punca mengapa para pengundi tidak menyokong PAS," katanya.

Katanya, dasar parti itu mengenai konsep Negara Islam juga disenaraikan sebagai salah satu sebab mengapa parti itu tidak mendapat sokongan, tetapi ianya tidak dibincang secara serius.

"Kandungan dasar tersebut bukanlah merupakan punca utama tetapi lebih menjurus kepada faktor masa. Dasar tersebut tidak diterima baik kerana ianya dilancarkan terlalu hampir dengan pilihanraya umum. Ia mungki diterima baik jika dilancarkan lebih awal lagi," tambahnya.

Satu lagi punca kekalahan PAS, katanya, ialah kegagalannya untuk menarik sokongan daripada penguni bukan Islam dan merosotnya sokongan daripada pengundi muda.