Pemimpin pembangkang, NGO disoal siasat pakai baju BERSIH 4
Pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil telah disoal siasat oleh pihak polis hari ini berkaitan dengan perhimpunan BERSIH 4, dikatakan kerana memakai baju-T BERSIH 4.
Mereka yang disoal siasat hari ini ialah bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan; exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong dan Ahli Parlimen Kapar G Manivannan, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Peguam mereka, Latheefa Koya berkata, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali juga akan disoal siasat berhubung kesalahan yang dikatakan sama pagi esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah selepas disoal siasat, Ambiga berkata beliau akan mencabar pengharaman pemakaian baju-T BERSIH 4.
Dua hari menjelang perhimpunan BERSIH 4, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mewartakan suatu perintah di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 mengharamkan baju-T BERSIH 4.
Juga diharamkan di bawah perintah itu adalah apa-apa bahan yang dicetak dan risalah mempromosi perhimpunan BERSIH 4.
Di bawah Seksyen 8 PPPA, mereka yang memiliki bahan-bahan yang dilarang boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan, manakala mereka yang mengeluarkan atau menjualnya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Selain Ambiga, gabungan BERSIH 2.0 juga telah berikrar untuk mencabar larangan tersebut di mahkamah.

