Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menjelaskan, kehadiranya dalam Himpunan Rakyat Bersatu Rabu lalu bertujuan untuk menyampaikan mesej perjuangan pertubuhannya.

Ibrahim berkata, kehadirannya di Padang Merbuk juga untuk menghormati jemputan yang diterima daripada penganjur iaitu Persatuan Seni Silat Kebangsaan (Pesaka).

"Saya hadir kerana menghormati jemputan serta diminta turut menyampaikan ucapan. Maka saya hadir dan kandungan ucapan saya, saya jawab kenapa saya hadir, iaitu menyampaikan kehendak umat Malayu bumiputera mengenai isu biasiswa, kuota kontrak, tanah rezab Melayu, mengembalikan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan hak keistimewaan Melayu.

"Kesimpulannya saya nak ingatkan (bahawa), jangan menang sorak kampung tergadai. Saya tidak peduli apa persepsi atau tohmahan. Saya nak ambil kesempatan menyampaikan mesej perjuangan PERKASA," katanya kepada Malaysiakini .

Selain PERKASA beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain menyertai acara yang juga digelar perhimpunan baju merah itu.

Perhimpunan itu antara lain bertujuan bagi menunjukkan sokongan ramai terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kehadiran Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat "mengejutkan" kerana beliau merupakan antara individu yang turut mengkritik kepimpinan Najib.

Malah, tokoh yang dekat dengan pertubuhan itu Tun Dr Mahathir Mohamad juga berpendapat bahawa perhimpunan baju merah itu tidak perlu dilakukan dan menolak tanggapan bahawa ia bertujuan untuk mempertahankan orang Melayu.