Polis sedang meneliti rakaman insiden kekecohan dicetuskan oleh peserta himpunan baju merah dekat Jalan Petaling, Kuala Lumpur dalam himpunan Rabu lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata pihaknya sedang mengenal pasti kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat, lapor Bernama
"Kita akan buka kertas siasatan bagi mana-mana kesalahan yang telah dikenal pasti, buat masa ini beri ruang untuk kita siasat perkara ini dan kita perlu sedikit masa," beliau dipetik sebagai berkata.
Insiden kekecohan itu berlaku apabila sekumpulan peserta didakwa daripada Himpunan Rakyat Bersatu cuba merempuh kawasan perniagaan di Jalan Petaling yang didominasi peniaga bukan Melayu.
Tindakan itu memaksa pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan meriam air bagi menyuraikan mereka.
Kumpulan itu juga kelihatan membaling botol air, kon jalan selain memaki anggota pasukan keselamatan sebagai “barua Cina”.
Perhimpunan itu dianjurkan sebagai reaksi terhadap perhimpunan BERSIH 4 di kawasan sekitar Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas.
