Jerebu antara agenda pertemuan Zahid-Jusof Kalla

   

Segala permasalahan Malaysia-Indonesia akan diselesaikan secara muhibah antara pemimpin kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata isu-isu seperti ekonomi, sempadan, jerebu dan pekerja tanpa izin dari negara jiran sentiasa dibincangkan dengan baik antara kedua-dua negara itu, lapor Bernama .

"Segala permasalahan boleh terungkai, boleh selesai menerusi perbincangan," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di Jakarta.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri, dilapor tiba di republik itu pagi Jumaat untuk lawatan kerja selama empat hari.

Antara program beliau ialah mengadakan pertemuan dengan wakil presiden Indonesia Jusof Kalla di Istana Wakil Presiden.

Bernama juga melaporkan Zahid dan isterinya Hamidah Khamis serta rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma pada pukul 9 pagi (10 pagi waktu Malaysia) disambut Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Program pertama Zahid hari ini adalah pertemuan dengan Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Luhut Binsar Pandjaitan.

Dalam pertemuan dengan Jusuf, kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan isu-isu membabitkan hubungan dua hala dan kepentingan bersama.

Esok, Zahid akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhammad Hanif Dhakiri, lapor agensi berita nasional lagi.

Pada Ahad, Zahid akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Tjahjo Kumolo.

Lawatan Zahid ke Indonesia ini yang pertama sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 28 Julai lepas menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In