Negara bakal menyaksikan satu era baru dalam politik Kelantan apabila pimpinan baru Umno negeri menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan PAS demi kebaikan rakyat negeri itu.

Lebih menarik lagi apabila Umno Kelantan di bawah ketua baru, Datuk Annuar Musa secara terbuka menyatakan kesediaannya mengetepikan perbalahan panjang dengan PAS kerana percaya pendekatan keras yang diamalkan selama ini merugikan rakyat Kelantan.

"Rakyat Kelantan sudah muak dengan perbalahan itu sedangkan mereka terus ketinggalan dari segi ekonomi sekalipun Kelantan mempunyai ramai pakar profesional dalam pelbagai bidang dan hasil bumi yang banyak.

"Politik keras dan balas dendam yang menjadi identiti Kelantan perlu dihentikan segera kerana tidak ada faedahnya kepada rakyat sebaliknya mereka terus dilanda kemiskinan," katanya kepada malaysiakini .

Menurut beliau, tidak kira siapa yang memerintah, rakyat Kelantan perlu mendapat pembelaan sedangkan politik emosional yang dilakukan sekarang menjadikan rakyat huru-hara dan akibatnya pengangguran meningkat dan kemiskinan tidak dapat dihapuskan.

Cadangan Annuar untuk menemui Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sudah mendapat restu daripada pemimpin-pemimpin Umno Kelantan. Bagaimanapun, beliau belum menulis surat kepada Mursyidul Am PAS dan akan berbuat demikian selepas Hari Raya Puasa ini.

Bidang kerjasama

Dalam pilihanraya umum lalu, Umno hampir berjaya menumpaskan kerajaan PAS Kelantan yang menang hanya dengan kelebihan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PAS mendapat 24 kerusi manakala Umno memperolehi 21 kerusi DUN.

Pada peringkat ini, kata Annuar, Umno Kelantan sedang merangka beberapa perkara, terutama bagaimana kerjasama kedua-dua pihak ini boleh dilaksanakan serta bidang-bidang yang perlu diberikan keutamaan.

Bagaimanapun, katanya, Umno akan menekankan bahawa pembangunan negeri dan pembangunan sumber manusia, terutama pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RM9) bagi memastikan negeri itu setanding dengan negeri-negeri lain perlu disegerakan dan diberi keutamaan.

Kerjasama Umno-PAS ini adalah satu pendekatan baru Umno Kelantan di bawah kepimpinan Annuar yang baru mengambilalih jawatan Pengerusi negeri daripada Datuk Mustapa Mohamad dalam satu rombakan baru-baru ini.

Difahamkan Umno sekali lagi akan membawa cadangan kepada Nik Aziz bahawa Kelantan memerlukan sebuah universiti sendiri bagi memenuhi keperluan begitu ramai penuntut Kelantan ke pusat pengajian tinggi setiap tahun.

Bagaimanapun, Annuar lebih tertarik dengan pembangunan sektor petroleum yang membabitkan industri minyak dan gas yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu meskipun Bachok mempunyai kilang membotol gas.

Majukan petroleum

"Sektor petroleum ini perlu dimajukan segera kerana ia memberi banyak faedah. Kerajaan negeri akan mendapat wang yang banyak manakala puluhan ribu rakyat akan mendapat peluang pekerjaan.

"Kita tidak menghadapi masalah dari segi pelaburan dan kepakaran kerana begitu ramai usahawan Kelantan dan profesional sedia memberi pelaburan dan menjadi tenaga kerja.

"Namun kita perlu menyediakan ruang dan peluang untuk mereka dulu sebelum membawa mereka pulang untuk melabur dan bekerja di Kelantan," katanya lagi.

Annuar berkata, Umno Kelantan mengalu-alukan rakyat Kelantan yang mempunyai idea memberikan saranan masing-masing supaya rangka kerjasama Umno-PAS Kelantan mencapai matlamat.

Umno Kelantan, kata Annuar sudah lama mahu membuat kerjasama kedua-dua hala ini secara lebih kolektif untuk kebaikan rakyat Kelantan tetapi belum menjadi kenyataan kerana halangan-halangan yang tertentu.