Zahid dan Ruslan berpatah arang dengan Anwar
Beberapa bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyertai Umno tidak akan menyertai semula Keadilan walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
Beberapa bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyertai Umno tidak akan menyertai semula Keadilan walaupun bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.
Sebaliknya mereka akan terus taat setia terhadap kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menurut mereka sangat disegani di dalam dan luar negara.
Bekas Ketua Penerangan Keadilan, Ruslan Kassim berkata, tidak timbul langsung soal beliau akan menyertai semula Keadilan semata-mata kerana pembebasan Anwar.
"Keadilan sudah tidak relevan lagi dengan diri saya dan tidak mahu dikaitkan langsung dengan parti itu lagi," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, beliau akan terus kekal di dalam perjuangan Umno kerana baginya hanya parti itu sahaja yang boleh memajukan bangsa, agama dan negara.
Katanya lagi, sewaktu mengumumkan keluar dari Keadilan dan menyertai Umno awal tahun ini, beliau sudah berikrar akan terus bersama parti pemerintah itu sehingga akhir hayat.
Bagaimanapun, Ruslan yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan satu ketika dahulu, enggan mengulas sama ada akan menyokong Anwar jika penasihat Keadilan itu diterima semula menyertai Umno.
Sudah tertutup
Sementara bekas pemangku Ketua Pemuda Keadilan, Zahid Md Arip pula juga senada dengan Ruslan dan tidak akan kembali lagi kepada Keadilan kerana hatinya telah tertutup rapat untuk parti itu.
Menurutnya, beliau akan tetap menolak untuk menyertai semula Keadilan walaupun menerima "undangan khas" dari Anwar sendiri.
"Bagaimanapun, saya tetap menghormati beliau sebagai seorang pemimpin dan ahli politik yang popular di dalam dan di luar negeri ," kata Zahid yang pernah menjadi Exco Pemuda Umno sebelum menyertai Keadilan selepas pemecatan Anwar pada September 1998.
Bagaimanapun, dengan tegas Zahid memberi pengakuan, jika Anwar menyertai Umno, beliau tidak ragu-ragu dan berlenggah untuk menjadi penyokong nombor satu kepada bekas pemimpin yang disanjungnya itu.
Di dalam Keadilan, beliau pernah menjadi pemangku Ketua Pemuda Keadilan apabila Ezam Mohd Nor ditahan polis dan seterusnya dikenakan tahanan ISA pada pertengahan tahun 2001. Jawatan terakhirnya dalam parti itu ialah Naib Ketua Pemuda sebelum menyertai semula Umno pada awal tahun ini.
Keadilan yang kini dipimpin oleh isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail selepas pemecatan bekas Timbalan Presiden Umno itu pada 2 September 1998, kini mengharapkan pembebasan Anwar untuk mengembalikan semula kekuatannya.
Pada pilihanraya umum 1999, Keadilan membantu PAS menawan Terengganu, selain memenangi lima kerusi parlimen Permatang Pauh (Wan Azizah), Kemaman (Abdul Rahman Yusof), Kota Bharu (Ramli Ibrahim), Peringat (Mohamad Mustaffa) dan Tanah Merah (Saufi Daud) serta beberapa kerusi negeri. Bagaimanapun, pada 2004, hanya Wan Azizah yang mampu mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Sokongan rakyat
Zahid memberi alasan beliau tidak mahu lagi menyertai Keadilan kerana berpendapat parti itu sudah tidak mendapat tempat di kalangan pengundi selepas pilihanraya umum lalu.
Kepadanya, faktor kembalinya semula Anwar ke kancah politik negara tidak akan membantu Keadilan menerajui pemerintahan atau sekurang-kurangnya suasana sokongan besar rakyat seperti yang berlaku pada 1999 dulu.
"Jarang orang yang terpisah selama enam tahun dari politik, akan diterima seperti dahulu lagi. Saya tidak fikir Anwar akan mendapat sokongan seperti yang pernah diperolehinya sebelum ini.
"Sudah banyak contoh di negara kita apabila seseorang yang terpenjara atau terpinggir di dalam tempoh yang lama, akan kembali hebat semula. Saya tidak nampak Anwar akan mendapat balik kehebatan itu," katanya lagi.
Zahid juga berpendapat, ahli Umno tidak akan lagi menyokong Anwar jika bekas pemimpin itu menyertai pakatan pembangkang dan yakin peristiwa 1999 apabila ramai ahli parti belot, tidak akan berulang.
Akibat pembelotan ahli Umno, banyak kawan kubu kuat Barisan Nasional (BN) berjaya ditembusi oleh pembangkang termasuk di negeri-negeri pantai barat.
Dengan tegas Zahid berkata, zaman kegemilangan Anwar dan Keadilan sudah berakhir kerana rakyat lebih percaya dan yakin dengan kepimpinan Abdullah dan ini dibuktikan dengan kemenangan cemerlang calon BN di dalam pilihanraya umum lalu.

