Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dituduh menganiaya ibu-bapa terutama yang berpendapatan rendah sekiranya badan itu meneruskan cadangannya untuk mensyaratkan ibubapa mula membayar balik pinjaman itu selepas dua bulan dikeluarkan.

Ketika menegaskan demikian, dua badan bukan kerajaan berpendapat adalah tidak munasabah pinjaman itu mula dibayar oleh ibu bapa dalam masa dua bulan selepas anak-anak mereka mendapat pinjaman tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) mempersoalkan apakah PTPTN tidak menimbang keupayaan pihak ibubapa yang miskin dan berpangkat rendah untuk membayar balik pinjaman tersebut.

Semalam, Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail dilaporkan berkata, cadangan tersebut adalah bagi mengatasi masalah aliran tunai ekoran prestasi pungutan balik pinjaman daripada peminjam yang kurang memuaskan.

Badan itu memerlukan peruntukan RM3 bilion setahun bagi memberi pinjaman kepada mereka yang layak. Sejak ditubuhkan pada 1997, PTPTN memberi pinjaman berjumlah RM7.3 juta kepada kira-kira 600,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Daripada jumlah itu, seramai 137,000 pelajar atau hanya 19 peratus telah membayar balik pinjaman mereka.

Makan masa

Mengikut peraturan sekarang, PTPTN terpaksa menunggu pelajar terbabit tamat kursus dalam tempoh tiga tahun dan pembayaran balik pinjaman itu ada yang memakan masa sehingga 20 tahun untuk diselesaikan.

Berikutan itu, Teras dan Impak ingin tahu sama ada PTPTN sebagai sebuah institusi sosial kerajaan untuk menampung kos pendidikan tinggi, terutama di kalangan golongan kurang mampu telah menjalankan kajian terperinci terhadap para pelajar yang belum membayar balik pinjaman pendidikan mereka itu.

"Kenapa golongan ibubapa miskin dan berpendapatan rendah yang sudah menanggung banyak kos pendidikan anak-anak mereka, tiba-tiba dibeban oleh PTPTN dengan tempoh mula membayar pinjaman dalam masa yang amat singkat?

"Kenapa PTPTN tidak mengadakan mekanisme yang rapi untuk mewujudkan skima bayaran balik yang munasabah agar peranan utamanya, iaitu fungsi sosial, tidak diketepikan," kata kenyataan tersebut.

Sebaliknya, Teras dan Impak mencadangkan supaya PTPTN mewujudkan khidmat nasihat bagi membimbing graduan yang masih tidak mendapat pekerjaan tetap untuk merancang bagaimana mereka boleh membayar hutang pada kadar dan tempoh yang munasabah.

Teras dan Impak juga bependapat masih ada kaedah lain yang lebih munasabah untuk dilaksanakan oleh PTPTN berbanding dengan cadangan supaya ibubapa membayar dua bulan selepas pinjaman dikeluarkan.

Semak pendapatan

"Alasan bahawa ibu bapa juga diminta mencarum dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ogos lalu, juga tidak dapat diterima, kerana tidak semua ibubapa, terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah mempu mencarum.

"Lagipun, jika adapun, sudah tentu carumannya amat rendah yang tidak memungkinkan ibubapa membayar balik pinjaman dalam tempoh singkat sepertimana yang dicadangkan itu," tambahnya.

Sehubungan itu, Teras dan Impak, yang membantah keras cadangan tersebut, mengesyorkan beberapa tindakan termasuk mengkaji prosedur PTPTN supaya pinjaman tersebut tidak diberikan kepada mereka yang tidak layak atas atas alasan taraf pendapatan dan bilangan tanggungan.

"Kadar dan tempoh membayar balik hendaklah ditetapkan berdasarkan status pekerjaan graduan. Ertinya PTPTN perlu mencari kaedah untuk mengesan pendapatan graduan apabila mereka mendapat pekerjaan tetap.

"Jika ada ibubapa yang mencarum dalam SSPN, bayaran pinjaman ditentukan mengikut jumlah yang sudah dicarum dan bayaran selebihnya dibayar bila pelajar sudah mendapat pekerjaan," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Teras dan Impak menyarankan supaya kerajaan tidak menyalurkan peruntukan kepada projek-projek mewah atau yang tidak diperlukan, tetapi sebaliknya menyediakan lebih peruntukan untuk sektor pendidikan.

Kekalkan dasar sekarang

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kekalkan dasar yang membenarkan pelajar membayar balik pinjaman pelajaran hanya selepas mereka bekerja.

Jika pelajar terbabit diarah membuat bayaran balik pinjaman ketika masih dalam pengajian, ia akan membebankan pelajar itu dan keluarga mereka, kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Kuala Lumpur hari ini.

"Mereka yang perlukan pinjaman itu adalah mereka yang datang daripada keluarga yang tidak ada pendapatan yang secukupnya untuk membiayai pengajian mereka.

"Jadi, kalau lepas dua bulan nak minta keluarga dia pula bayar, saya tak nampak apakah kemampuan yang ada pada keluarga itu untuk membuat bayaran itu. Jadi, sepatutunya, kita tetapkan mengikut dasar yang awal itu," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu daripada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai PTPTN.