PAS akan menerima sesiapa sahaja untuk hadir ke Himpunan 60,000 (H60K) di Kelantan bulan depan yang menyokong dasar dan perjuangan mereka.

“Kita mengalu-alukan semua pihak,” kata timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengulas hasrat kumpulan baju merah menyertai himpunan mereka pada 17 Oktober depan.

Beliau bagaimanapun menegaskan kepada Malaysiakini , parti Islam itu menentang golongan rasis dan menyokong pembinaan kerukunan dan keharmonian bernegara.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan semua rakyat mesti menghormati kebersamaan rakyat menentang rasuah, dan salah guna kuasa.

Datuk Jamal Md Yunos ( gambar ), orang kuat di sebalik himpunan baju merah minggu lalu, berkata beliau bercadang menyertai H60K jika objektif himpunan itu ke arah untuk menyatupadukan orang Melayu.

PAS pada 15 September lalu, sehari sebelum himpunan baju merah pada Hari Malaysia, mengumumkan H60K, yang bertemakan baju hijau untuk menguatkan kembali sokongan akar umbinya.

Himpunan itu dianjurkan selepas mereka diheret pelbagai konflik dalaman baik dengan rakan pembangkang mahu pun bekas kepimpinan kanan parti itu sendiri.

Perhimpunan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Muhamad ke IV, Kota Bharu.

Ia dilihat penting bagi menjana kembali kekuatan mereka di Kelantan bagi berdepan pilihan raya umum akan datang.

Lebih-lebih lagi, PAS kini berdepan situasi berbeza apabila akan berdepan pencabar dalam keadaan ketiadaan ikon legenda mereka Datuk Nik Aziz Nik Mat dan kemungkinan perebutan anggota dengan parti serpihan, Parti Amanah Negara (AMANAH).