MARA henti taja pelajar baru Universiti Taylor
Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menghentikan penajaan bagi pelajar baharu yang melanjutkan pengajian ke Universiti Taylor atas pelbagai sebab, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, beliau berkata pelajar tajaan MARA yang sedang menuntut di universiti berkenaan dibenarkan meneruskan pengajian mereka, lapor Bernama.
"Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Mara (Datuk Ibrahim Ahmad) untuk melihat perkara ini ... kami akan menghentikan penajaan kepada (pelajar) pengambilan baharu atas pelbagai sebab.
"Bagaimanapun, kami tidak akan menghentikan penajaan pelajar sedia ada (di Universiti Taylor) kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Jualan Teknologi Maklumat (IT) @ Busana di Menara Mara di ibunegara hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat yang tersebar di media sosial bahawa MARA akan menghentikan pemberian biasiswa kepada pelajar tajaannya di Universiti Taylor.
Pada 16 September lalu, Universiti Taylor menjadi perhatian apabila gambar diedarkan di talian yang menunjukkan bas yang mempunyai logo universiti swasta itu digunakan untuk membawa peserta ke perhimpunan baju merah pada hari berkenaan.
Universiti itu kemudian terpaksa menjelaskan bahawa ia tidak membenarkan penggunaan perkhidmatan bas itu untuk tujuan tersebut dan ia tidak digunakan untuk membawa pelajarnya ke perhimpunan itu.
Berikutan, Universiti Taylor telah menamatkan kontrak dengan pengusaha bas berkenaan serta menyatakan kekesalannya terhadap perkara tersebut.

