'Komponen BN usah curiga himpunan 'Baju Merah'

   

Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan parti komponen BN supaya tidak curiga dengan perhimpunan 'Baju Merah' sehingga terburu-buru menyifatkannya sebagai "berbaur perkauman".

Beliau berkata himpunan pada 16 September itu sebagai manifestasi kekecewaan orang Melayu khususnya ahli Umno terhadap pihak yang sengaja memainkan sentimen perkauman dalam usaha mereka meruntuhkan kerajaan secara tidak sah.

Menulis dalam blognya hari ini, Syed Ali berkata 'Himpunan Rakyat Bersatu' itu juga sebagai memberi peringatan kepada pihak terbabit bahawa orang Melayu masih boleh bersatu jika maruah dan masa depan diperkecilkan.

"Orang Melayu sudah lama bersabar dengan gelagat bukan Melayu di negara ini, jadi perhimpunan tersebut sewajarnya dilihat secara positif.

"Tidak timbul soal rasis atau memperjuangkan kepentingan Melayu kerana asas perjuangan Umno adalah untuk Melayu, agama Islam dan negara ini," katanya dalam blognya.

Bertegas memegang prinsip setiakawan dalam BN, Syed Ali berkata selaku tonggak dalam BN, Umno sentiasa menghormati hak bersuara rakan komponen.

Bagaimanapun, katanya parti itu kecewa dengan MCA kerana berat sebelah dan prejudis membuat penilaian berhubung perhimpunan itu.

"Mereka marah kepada pemimpin Umno kerana perhimpunan tersebut tetapi mereka berdiam diri apabila ribuan kaum Cina menyertai perhimpunan BERSIH 4.

"Mereka hanya nampak orang Melayu berhimpun kerana marah dan kecewa tetapi mereka pejam mata melihat kaum mereka menghina pemimpin Umno.

Menurut beliau, komponen BN terutama MCA sepatutnya mendapatkan penjelasan berkaitan perhimpunan 16 September lalu menerusi saluran yang betul menerusi Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In