Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mendakwa Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said telah digunakan oleh DAP kerana mengeluarkan kenyataan bahawa seni mempertahankan diri silat Melayu hanya khazanah untuk persembahan sahaja.

Megat Zulkarnain berkata kenyataan Samad itu memberi penghinaan kepada besar kepada pengamal seni silat di negara ini.

“A Samad Said digunakan DAP. Apabila A Samad Said menyatakan sedemikian rupa, ramai yang marah.

“Kenyataan itu secara tak langsung beri penghinaan besar kepada seni silat kerana katanya ini bukan zaman silat,” kata Megat Zulkarnian dalam sidang media di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) Batu Cave petang ini.

Katanya, Samad seharusnya melihat pengiktirafan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengangkat seni mempertahankan diri secara rasmi di Malaysia.

Samad Sabtu lalu berkata silat pada zaman sekarang adalah khazanah untuk dipertunjukkan sahaja bukan untuk mempertahankan diri lagi.

Menurut Megat lagi, kenyataan A Samad itu juga dilihat hanya akan mendrorong kebangkitan orang Melayu kerana rasa tercabar.

"Jadi kalau dia hina silat yang merupakan pakaian orang Melayu, bermakna ia telah membuka ruang untuk Melayu bangkit kerana tercabar dengan kenyataan DAP.

"Kalau kita cakap orang tak baca puisi, dia (Samad) marah tak? dia kena ingat selama ini pun orang Melayu juga yang beli buku-buku puisi dia, bukan DAP pun," katanya.

Beliau berkata kenyataan Pak Samad itu juga sebagai ‘front liner’ bagi mewakili DAP yang sebelum ini pernah cuba untuk mengharamkan seni mempertahankan diri itu di Pulau Pinang tetapi mendapat tentangan hebat pengamal seni silat.

“Begitu juga dengan kes Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) pernah cuba mengharamkan silat di Pulau Pinang, tapi bila (penggiat) silat bangkit, dia tak jadi untuk haramkannya.

"Dia tahu pengaruh silat ini besar, sekarang mereka cuba gunakan Pak Samad untuk membangkitkan kemarahan rakyat pula,” katanya sambil mencabar Samad membawa beberapa anggota DAP menyaksikan sendiri seni silat.

Megat Zulkarnain berkata ia bertujuan menilai sama ada silat masih lagi praktikal mahupun tidak sebagai seni pertahankan diri secara rasmi di Malaysia.

"Kita boleh aturkan 10 anak muda main silat yang dia kata tidak praktikal, dengan syarat bawa anak muda DAP juga untuk tengok. Jangan usik budaya kita, jangan salahkan Melayu untuk bangkit nyatakan perasaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS