Kerja-kerja pengubahsuaian pusat jualan IT @ Busana yang bakal menempatkan kira-kira 30 ruang jualan di tingkat tiga Menara MARA akan bermula esok dan dijangka selesai November ini dan dijadual beroperasi sepenuhnya pada Disember ini.
"Pusat itu yang menumpukan penjualan dan pemborongan alat-alat telekomunikasi dan pembaikan komputer akan memberi ruang kepada lebih ramai usahawan dan peniaga Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan mereka," kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ditanya sama ada permohonan masih dibuka kepada usahawan Bumiputera yang berminat untuk menjalankan perniagaan di pusat itu, Ismail Sabri berkata:
"Kita akan mempertimbangkan permohonan mereka dan sekiranya sambutan menggalakkan, kita akan menimbangkan untuk membuka satu lagi tingkat kepada mereka.
"Keutamaan akan diberikan kepada usahawan dan peniaga Bumiputera, jika ada penyertaan bukan Bumiputera kita akan mempertimbangkannya," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Jualan Teknologi Maklumat (IT) @ Busana di Menara Mara di ibunegara hari ini.
Selain itu, beliau berkata orang ramai masih berpeluang mengemukakan cadangan nama bagi pusat itu sehingga 30 September ini.
Katanya, pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM5,000, RM3,000 bagi tempat kedua dan RM1,000 bagi tempat ketiga.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pihaknya akan menaik taraf Bistro Menara Mara secepat mungkin untuk keselesaan para peniaga dan pelanggan.
- Bernama
