'Ketetapan Pemuda MCA Pasir Gudang boleh rosak setiakawan'

   

Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin menegaskan ketetapan Pemuda MCA Pasir Gudang memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh merosakkan kerjasama yang terjalin dalam komponen BN.

Khairy kesal apabila ketua Pemuda MCA bahagian itu Chia Chow Hui mengaitkan Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu sebagai alasan ketetapan itu dibuat, lapor Sinar Harian hari ini.

"Saya mahu Pemuda MCA Kebangsaan membuat siasatan mendalam ke atas ketetapan Pemuda MCA Pasir Gudang seperti yang dinyatakan semalam (kelmarin).

"MCA merupakan rakan komponen dalam BN sejak sekian lama dan perkongsian kuasa di antara kaum telah kita amalkan dengan jayanya selama ini.

"Kerjasama ini boleh rosak dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab seperti Pemuda MCA Pasir Gudang," kata Khairy seperti yang dilapor akhbar itu.

Khairy mengulas keputusan Pemuda MCA Pasir Gudang kelmarin yang memutuskan hubungan dengan Najib ekoran sokongan beliau kepada himpunan 'Baju Merah' yang disifatkannya "menghancurkan keharmonian kaum".

Hal ini bermaksud semua anggota Pemuda MCA bahagian itu tidak akan menghadiri majlis Najib atau menyokong beliau dalam apa cara sekalipun. Bahagian itu adalah yang pertama berbuat demikian dalam BN.

Dalam laporan itu juga, Khairy berkata di sebalik kemerosotan sokongan masyarakat Cina kepada BN, Pemuda MCA tidak sepatutnya mengubah fokus ke atas Umno dengan menyerang kepimpinan tertinggi parti itu.

Bahkan, laporan itu menyebut, Khairy berkata tindakan itu bertentangan dengan prinsip kerjasama dan setia kawan dalam BN serta mencabar kekitaan yang dibentuk selama ini.

"Jelas sekali, ini merupakan langkah kebudak-budakan, mendahului parti dan dikhuatiri berniat jahat ke atas kepimiinan negara dalam keadaan serta cabaran geopolitik yang sedang kita lalui.

"Pemuda Umno ingin mengingatkan Chow Hui supaya membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menrosakkan kerjasama parti-parti komponen BN," katanya yang juga ketua Pemuda Umno.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In