Bicara kes curi telefon di Low Yat 30 Nov
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menetapkan dua hari iaitu 30 November dan 1 Disember untuk perbicaraan kes seorang penganggur yang didakwa atas pertuduhan mencuri sebuah telefon bimbit di Plaza Low Yat Julai lalu.
Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne memaklumkan bahawa permohonan representasi untuk menggugurkan pertuduhan yang dikemukakan tertuduh Shahrul Anuar Abdul Aziz, ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.
Sehubungan itu peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Shahrul Anuar, 22, memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Shahrul Anuar didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang pada 4.47 petang 11 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengemukakan surat representasi pada 14 Ogos.
- Bernama

