Bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata beliau telah ditawarkan jawatan penting dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa parti pembangkang yang lain.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini beliau belum membuat sebarang keputusan kerana mahu berehat daripada politik buat sementara.

Ketika dihubungi malaysiakini , Ibrahim berkata:"Saya mendapat tawaran untuk jawatan penting dalam PKR dan beberapa parti pembangkang lain tetapi mahu melihat perkembangan politik semasa dahulu.

"Buat masa ini saya mahu berehat daripada aktif berpolitik kepartian buat sementara waktu. Ini mungkin mengambil masa beberapa bulan," katanya tetapi enggan menamakan parti-parti lain yang turut membuat tawaran tersebut.

Ibrahim telah dipecat daripada Umno selepas beliau bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, menentang calon Barisan Nasional (BN) dan calon PAS dalam pilihanraya umum Mac lalu, selepas beliau tidak dilantik semula menerajui Umno Bahagian Pasir Mas.

Kerusi Parlimen tersebut dimenangi oleh calon PAS, Ismail Noh dengan majoriti 1,251 undi. Ibrahim mendapat 17,526 undi, calon BN Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman (16,275 undi) dan Ibrahim mendapat 6,198 undi.

Berikutan itu, ramai pihak yang berpendapat calon BN berpeluang memenangi kerusi Parlimen tersebut sekiranya Ibrahim tidak turut bertanding sebagai calon Bebas.

Bertanding calon Bebas

Ketika bersama Umno dulu, Ibrahim pernah menjadi Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri serta pernah menjadi Ketua Penerangan Umno Kelantan.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Pemuda Parti Berjasa yang ditubuhkan berikutan berlakunya pergeseran di kalangan pemimpin PAS yang ketika itu dipimpin oleh Datuk Asri Muda pada 1978.

Ketika Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir untuk jawatan Presiden Umno pada 1987, Ibrahim menyokong dan seterusnya menjadi Ketua Pemuda Semangat 46 yang ditubuhkan oleh Ku Li.

Bagaimanapun, Ibrahim menyertai semula Umno pada tahun 1996 dan bertanding beberapa kali bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas sebelum namanya digugurkan dalam pilihanraya umum lalu oleh Umno Kelantan pimpinan Datuk Mustapa Mohamad, menyebabkan beliau bertanding sebagai calon Bebas.

Mengulas lanjut mengenai tawaran jawatan tersebut, Ibrahim berkata beliau sedang mengikuti secara dekat perkembangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah disifatkannya sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Anwar adalah penasihat PKR.

Ibrahim juga turut melawat Anwar yang menjalani pembedahan tulang belakangnya di Jerman selepas Mahkamah Persekutuan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman bagi kesalahan liwat awal September lalu.

"Ke mana Anwar berceramah saya pergi, saya hendak tengok ke arah mana minda halatuju perjuangannya selepas ini. Saya tabik dengan perjuangannya," katanya lagi.

Musuh dalam selimut

Buat masa ini, Ibrahim banyak menumpukan perhatian kepada kampungnya di Pasir Mas dengan memberikan bantuan sedikit sebanyak kepada penduduk miskin melalui Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan beberapa tahun lalu.

"Saya masih mencurahkan bakti kepada masyarakat meskipun bukan melalui parti politik. Orang Pasir Mas sudah menganggap saya sebagai ketua mereka dan mereka tetap menyokong saya meskipun saya bukan Ketua Umno Pasir Mas," kata beliau yang juga pengerusi MTRK.

Mengulas mengenai perlantikan Datuk Annuar Musa sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang baru, Ibrahim berkata, jika Annuar menunjukkan kewibawaan beliau akan berjaya.

Menurutnya, bekas Menteri Kemajuan Wilayah itu bakal menghadapi cabaran besar untuk menggerakkan Umno Kelantan dalam usaha merampas pemerintahan kerajaan negeri daripada PAS.

"Jika Annuar tidak menunjukkan kewibawaannya, beliau akan tumbang kerana terlalu ramai yang mahu menjadi Pengerusi Umno Kelantan," katanya sambil menambah Annuar memerlukan masa beberapa bulan untuk membuktikan kepimpinannya.

Secara peribadi, kata Ibrahim, Annuar berkebolehan untuk menjadi seorang pemimpin terbaik yang pernah dilahirkan oleh Umno Kelantan berdasarkan kepimpinan dan kematanganya berpolitik selama ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, Annuar perlu juga menyedari mengenai kemungkinan wujudnya 'musuh-musuh dalam selimut' yang saban waktu mencari jalan untuk menjatuhkannya.