Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri nafi dakwaan bacaan IPU diubahsuai
Diterbitkan:  Sep 24, 2015 7:38 AM
Dikemaskini: Sep 24, 2015 3:33 PM

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh kementeriannya telah diubahsuai atau dipalsukan untuk memberikan bacaan yang tidak tepat.

"Kami juga berkongsi maklumat dengan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) di Singapura bersama-sama dengan Thailand, Indonesia dan Brunei Darussalam.

"Bacaan juga dilakukan oleh ASMC, maka tidak ada cara atau sebab untuk kerajaan mengeluarkan bacaan dan maklumat yang diubahsuai," katanya.

Dr Wan Junaidi memberitahu pemberita demikian selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Kuala Lumpur, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementeriannya berharap untuk mewujudkan sebuah sistem yang lebih canggih dan komprehensif menjelang 2017 bagi mengukur bacaan IPU dalam negara.

Menurutnya pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan kelulusan peruntukan daripada kerajaan untuk sistem tersebut.

"Penggunaan cadangan sistem terkini itu bukan hanya tertakluk kepada proses mengukur tahap pengeluaran gas berbahaya dan zarah jerebu tetapi juga untuk memantau kenaikan paras air laut dan ramalan banjir," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia akan memperkenalkan penggunaan teknologi telaga bawah tanah di kawasan tanah gambut kepada kerajaan Indonesia bagi mengatasi masalah pencemaran jerebu di rantau ini.

Katanya, penggunaan telaga bawah tanah di negara ini telah terbukti berkesan dalam mengatasi pembakaran di kawasan tanah gambut yang menyumbang dengan ketara kepada masalah jerebu.

"Kita mempunyai telaga bawah tanah di lokasi strategik di kawasan tanah gambut di seluruh negara," katanya.

"Telaga bawah tanah ini diaktifkan semasa musim kemarau bagi melembapkan bahan vegetatif kering di kawasan tanah gambut yang boleh membakar di bawah permukaan tanah untuk sekian lama," katanya.

Katanya beliau akan berlepas ke Jakarta, Jumaat ini bagi mengemaskini terma dan kandungan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) baharu berhubung masalah jerebu dengan rakan sejawatan dari Indonesia.

Mengenai situasi jerebu dalam negara, Wan Junaidi berkata keadaan itu diramal akan berterusan sehingga awal minggu kedua bulan depan berikutan perubahan arah tiupan angin barat daya.

Setakat semalam, katanya sebanyak 472 titik panas dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan dan 26 di Sumatera di Indonesia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS