Suhu panas melampau dan kepenatan didakwa menjadi punca insiden malang di Mina yang menyebabkan lebih 700 jemaah haji terkorban semalam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Mansour al-Turki berkata, turut memburukkan keadaan adalah pertembungan ribuah jemaah haji di satu persimpangan yang menyebabkan mereka bersesak-sesakan.

"Ia adalah antara faktor yang menyebabkan tragedi itu," katanya.

Akhbar Britain The Telegraph pula melaporkan, sistem pemantauan kesesakan berkomputer tidak meliputi kawasan kejadian.

Sistem itu dipasang syarikat dari Britain, CrowdVision, ekoran kematian 346 jemaah haji - juga di Mina - pada 2006.

Bagaimanapun, kata pengasas bersama CrowdVision, Fiona Strens, sistem itu tidak terbabit di kawasan tragedi semalam.

"Syarikat kami terlibat secara aktif dalam haji dan kerajaan Arab Saudi melabur sumber yang banyak di kawasan ini.

"Namun sumber itu kebanyakannya dilaburkan di kawasan Jambatan Jamrah yang menjadi tempat kemalangan sebelum ini berbanding lokasi kemalangan semalam," katanya.

Sekurang-kurangnya 719 orang meninggal dunia dan hampih 900 yang lain cedera dalam kejadian pagi semalam (waktu tempatan).

Ia adalah tragedi pertama berlaku di kawasan itu selepas 25 tahun dan dianggap antara yang paling buruk setakat ini.

Iran salahkah Riyadh

Pada Julai 1990, seramai 1,426 jemaah haji meninggal dunia akibat berhimpit-himpit dan terpijak dalam terowong di Ma'asim yang menghubungkan Padang Arafah dan Mina.

Kerajaan Arab Saudi berjanji menyiasat insiden semalam dan mengambil langkah perlu bagi mengatasinya.

Sementara itu jurucakap delegasi haji Iran kali ini berkata penutupan laluan berhampiran tempat melontar jamrah menyebabkan tragedi semalam berlaku.

Kata jurucakap itu penutupan laluan berkenaan tidak diketahui namun ia mencetuskan tragedi berkenaan.

"Arab Saudi mesti bertanggungjawab atas kematian jemaah haji ini," katanya.