Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menghantar memorandum membantah cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mahukan peminjam membuat bayaran balik selepas dua bulan pinjaman dikeluarkan untuk mereka.

Dalam memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi itu, Pemuda PAS menyifatkan cadangan Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail itu sebagai tidak wajar dan membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

"Dasar ini adalah songsang, kita tidak mahu kerajaan `berniaga' dengan rakyat dalam bidang pendidikan kerana ini adalah tanggungjawab sosial pemerintah," kata Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan.

"Kami menuntut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Salleh membuat penjelasan dan ia perlu memihak kepada rakyat dan bukannya kepada Pengerusi PTPTN dan mahu dasar pembayaran balik pinjaman balik dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, PTPTN ditubuhkan untuk membantu pelajar miskin membiayai pengajian mereka setelah Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lagi membiayai pelajar pusat pengajian tinggi.

Malangnya, kata beliau, PTPTN bertindak seperti `along' yang mahu memeras pelajar dengan mewajibkan mereka membayar pinjaman selepas dua bulan ia dikeluarkan.

Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian itu berkata, jika PTPTN mahu mencari keuntungan, mereka harus menjadi syarikat kewangan berlesen dan bukannya menggunakan nama perbadanan kerajaan untuk menindas rakyat.

Masalah sebenar

"PTPTN mengenakan caj sebanyak empat peratus bagi setiap pinjaman. Jika ibu bapa perlu membayar segera, bermakna mereka menanggung kos tambahan itu untuk satu pinjaman selama dua bulan saja.

"Adalah munasabah kerajaan mengarahkan pihak universiti mengenakan bayaran yuran secara ansuran pada kadar yang sama dengan bayaran balik itu di mana ibu bapa tidak perlu menanggung `bunga' empat peratus itu," tambahnya.

Salahuddin berkata, Pemuda PAS tidak nampak di manakah masalah sebenar yang dihadapi oleh PTPTN dalam menyediakan kewangan kepada pelajar meskipun memerlukan peruntukan RM3 bilion setahun.

PTPTN, ujar beliau harus ingat bahawa dasar pembayaran balik yang diamalkan sebelum ini adalah selepas tiga tahun pelajar mendapat pekerjaan dan menyarankan kutipan perlu dibuat selepas peminjam mendapat pekerjaan yang selesa.

Katanya, PTPTN juga harus menimbangkan masalah ekonomi semasa yang dihadapi negara kerana kebanyakan pelajar menamatkan pengajian ketika ekonomi sedang merudum ekoran kegawatan 1997.

"Mereka menghadapi masalah pekerjaan sehingga kerajaan terpaksa menyediakan skim sangkutan dan pembiayaian kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia. Ada graduan yang bekerja sebagai kerani atau pegawai rendah kerana mendapatkan kerja lain sukar," katanya.