Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti-parti dalam Pakatan Harapan, gabungan baru pembangkang, hari ini bersama-sama turun padang ke Jalan Petaling, Kuala Lumpur bagi menyebarkan mesej perpaduan pelbagai kaum.

Diketuai oleh pemimpin popular DAP Lim Kit Siang, kira-kira 15 orang pemimpin parti itu, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) berarak di sekitar kawasan perniagaan itu.

Turut serta Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang juga anggota baru DAP.

Beliau memberitahu pemberita bahawa beliau berharap tempat yang sering dikunjungi itu sejak beberapa dekad tidak bertukar menjadi tempat persengketaan.

“Kita jangan kerana mahu mendapat sedikit kelebihan dalam siasah, kita letakkan tempat tertentu sebagai permusuhan sedangkan ini tempat seni, sejarah dan makanan.

“Oleh itu saya membantah apa saja tindakan untuk mencemar tempat ini,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, orang kuat di sebalik himpunan baju merah 16 September, Datuk Jamal Md Yunos sebelum ini memberi amaran rusuhan jika dominasi kaum Jalan Petaling terus berlaku.

Beliau juga menggesa kerajaan membanteras jualan barangan tiruan di kawasan itu.

Beliau ditahan polis bawah Akta Hasutan malam tadi walaupun menafikan penganjur himpunan itu dan cuma menyampaikan pesanan pihak lain, yang tidak dinamakan.

Lihat Komen
ADS