Wisma Putra dijangka panggil duta China
Duta Cina ke Malaysia Dr Huang Huikang dijangka akan dipanggil Wisma Putra susulan kenyataannya yang dilihat campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara ini semasa lawatan ke Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Difahamkan beliau dipanggil pada Isnin ini supaya penjelasannya berhubung kenyataannya semalam di kawasan perniagaan itu dapat diperjelas, lapor The Star Online , memetik sumber kementerian itu.
Pejabat Perdana Menteri juga dikatakan sudah dimaklumkan berhubung perkara itu.
Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun sekarang berada di New York untuk lawatan kerja.
Harian itu melaporkan Huang dipetik sebagai berkata China menentang pihak yang menyebabkan keganasan untuk mengganggu ketenteraman awam.
Ia dilihat merujuk kepada kumpulan yang ingin berhimpun di Jalan Petaling hari ini.
“Kerajaan China menentang keganasan dan segala bentuk diskriminasi terhadap bangsa dan sebarang bentuk ekstremisme,” beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.