Kisah migran Sabah menang dokmentari pendek terbaik
Marcel Simok dari Citizen Journalist Malaysia telah memenangi anugerah filem pendek terbaik di Freedom Film Festival tahun ini bagi dokumentari pendek bertajuk 'Living in Drains'.
Filem dokumentari pendek itu menceritakan mengenai kisah benar pendatang tanpa izin bernama Aliudin dan keluarganya yang memasuki ke Sabah dari Filipina demi mencari kehidupan yang lebih baik.
Namun, mereka kini hidup dalam ketakutan terhadap pihak berkuasa dan tidak mendapat perlindungan undang-undang di Sabah.
Mereka juga tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan kerana mereka tidak mempunyai dokumen berkaitan yang mencukupi termasuk menjadi mangsa peras ugut.
"Sebagai orang Sabah, saya hanya mahu mendokumentasikan dari sisi lain megenai kebenaran pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai kerakyatan kepada dunia walaupun kehadiran mereka sebenarnya tidak dialu-alukan,” kata Marcel, bekas penjawat awam yang menjadi aktivis hak asasi, seperti dilaporkan Citizen Journalist Malaysia.
Citizen Journalist Malaysia merupakan program yang dikelolakan oleh portal berita Malaysiakini untuk melatih orang ramai dalam bidang kewartawanan dan hasil kerja mereka diterbitkan di cj.my.
Kata Marcel, cabaran utama yang dihadapinya semasa membuat dokumentari itu untuk meyakinkan pendatang tanpa izin bersuara, kerana mereka bimbang tindakan yang akan diambil dari pihak berkuasa.

