Saifuddin belum terima surat tunjuk sebab Umno

Anne Muhammad        

Bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah masih belum menerima surat tunjuk sebab dari Umno ekoran menghadiri perbincangan meja bulat pembentukan pakatan baru pembangkang minggu lalu.

Beliau yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Umno berkata beliau masih belum menerima surat itu walaupun Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilapor berkata surat itu telah dihantar.

"Baru lepas Hari Raya Haji dan pejabat GMM itu juga ditutup pada hari Jumaat. Tetapi setakat ini, saya tidak menerimanya.

"Mungkin surat itu masih dalam perjalanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum mengenai pembangunan semula bandar di Kuala Lumpur di Hotel Park Royal pagi ini.

Saifuddin, yang kini merupakan CEO Pergerakan Moderat Global (GMM) berkata beliau hanya akan membuat keputusan seterusnya apabila menerima surat itu.

Sebelum ini Tengku Adnan dilapor berkata Saifuddin telah mencemarkan imej parti kerana menghadiri persidangan tersebut.

Saifuddin juga boleh diheret ke Lembaga Disiplin Umno jika beliau enggan menjawab notis biarpun diberi tempoh selama 14 hari.

Saifuddin yang juga bekas MP Temerloh berkata kehadirannya ke program pelancaran Pakatan Harapan atas kapasiti sebagai pengerusi Akademi Belia.

Tengku Adnan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tindakan Saifuddin itu melanggar disiplin parti walaupun hadir bukan atas kapasiti sebagai seorang ahli Umno.

Tiga parti pembangkang - PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasmi membentuk Pakatan Harapan sebagai wadah baru selepas Pakatan Rakyat berkubur.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In