PERKASA: Patut guna maksimum hak Melayu
Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata kerajaan sepatutnya menggunakan hak dan keistimewaan Melayu secara maksimum.
Di samping itu, pemimpin kumpulan pendesak Melayu itu juga menegaskan bahawa penafian hak keistimewaan Melayu adalah satu jenayah.
“Kerajaan juga patut menggunakan hak keistimewaan Melayu secara maksimum dalam penggubalan dasar dan perlaksanaan agenda ekonomi dan pembangunan untuk melonjakkan kaum Melayu bumiputera mendapatkan hak dan kekayaan ekonomi negara secara adil dan seimbang dengan lain-lain kaum,” tegas Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penerangan khasnya bersama Jawatankuasa Wira, Wiranita dan Wirawati PERKASA di Bayan Baru, Pulau Pinang semalam.
Menurut Ibrahim lagi, bukan sahaja asas perlembagaan perlu dipertahankan sebaliknya bangsa Melayu dan pribumi diminta memperkukuhkan kuasa politik mereka.
“Bukan saja pribumi kena pertahankan asas perlembagaan ini dengan menentukan jangan hilang kuasa politik kepada golongan yang memperjuangkan Malaysian Malaysia.
“Tetapi juga bangkit menuntut dengan berani segala hak yang terkandung dalam perlembagaan yang telah dilebur atau dimusnahkan oleh pemimpin Melayu sendiri,” tegas Ibrahim.

