Kes Morais: 6 didakwa bunuh, 2 bersubahat
Enam lelaki hari ini didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais manakala dua lagi, termasuk doktor tentera, dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu.
Tujuh daripada mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Di kandang tertuduh ialah G Gunasekaran, 47, R Dinishwaran, 23, A Thinesh Kumar, 22, M Vishwanath, 25, S Nimalan, 22, dan S Ravi Chandaran, 44, yang didakwa bersama-sama membunuh Kevin, 55, dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul, ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya, Selangor.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 7 pagi hingga 8 malam 4 September lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pertuduhan itu membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Dr Kolonel K Kunaseegaran, 52, pula didakwa bersubahat dengan enam lelaki itu mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 302 kanun sama.
- Bernama

