Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap kenyataan bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali bahawa beliau akan diberi jawatan penting jika menyertai kedua-dua parti pembangkang tersebut.

Mereka juga menyifatkan kenyataan bekas orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah itu sebagai ada sesuatu yang diinginkan oleh Ibrahim.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali ketika diminta komennya berkata:" Terserah kepada Ibrahim untuk mencatur perjalanan politiknya setelah terpecat dari politik Umno.

"Jika dia mengambil keputusan menyertai PKR, terpulanglah kepada parti untuk menerimanya atau tidak. Biar parti yang membuat keputusan," katanya lagi.

Syed Husin yang juga bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi PKR, berkata `Ibrahim mungkin ada agenda sendiri apabila membuat kenyataan sedemikian rupa.'

Bagaimanapun, beliau menegaskan, lbrahim tidaklah penting sangat kepada PKR.

Tiada tawaran

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa Ibrahim mendakwa beliau mendapat tawaran dengan jawatan penting daripada beberapa parti pembangkang termasuk PKR.

Ibrahim dilaporkan berkata, beliau telah mendapat tawaran dari pembangkang untuk menyertai parti mereka tetapi belum membuat keputusan kerana ingin berehat sementara daripada politik.

Syed Husin pula tidak mahu bercakap panjang mengenai ura-ura penyertaan Ibrahim ke dalam PKR tetapi berkata, setahunya parti tidak pernah membuat apa-apa tawaran, apa lagi menjanjikan jawatan penting.

Beliau juga berkata, setakat ini bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan itu belum membuat sebarang permohonan untuk menjadi ahli PKR.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Husam Musa sekadar berkata, biarlah Ibrahim masuk PAS dahulu sebelum sebarang kenyataan dibuat mengenainya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemunkinan kemasukan Ibrahim ke dalam PKR atau PAS memberi sedikit kekuatan tambahan berdasarkan keberanian dan pengalaman Ibrahim berpotilik terutama sekali di Kelantan.