Keputusan KDN tangguh batal gantung The Edge 13 Okt
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 13 Oktober depan untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah membatalkan penggantungan akhbar The Edge.
Hakim Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas bertemu peguam Darryl Goon dan Raja Elaine Soraya Raja Aman yang mewakili The Edge, dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili kementerian dan kerajaan.
Tarikh itu pada mulanya ditetapkan untuk penilaian ganti rugi tetapi permohonan penangguhan itu perlu didengar terlebih dahulu. [Baca berita asal]
Sementara itu Bernama melaporkan Suzana ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memohon penangguhan, sementara menunggu rayuan yang difailkan pada 22 Sept lepas berhubung keputusan mahkamah didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Katanya penangguhan itu termasuk penaksiran ganti rugi dan kos.
"Jika penangguhan itu tidak dibenarkan, rayuan itu akan menjadi sia-sia. Itu adalah satu keadaan khas yang mewajarkan penangguhan," kata Suzana.
Pada 21 Sept lepas, Hakim Asmabi membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang menggantung selama tiga bulan penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.
Asmabi turut memerintahkan supaya ganti rugi dialami dua penerbitan itu dinilai dan menetapkan kos perundangan berjumlah RM15,000.
Penerbitan The Edge dan The Edge Financial Daily digantung kerana menyiarkan laporan berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dikatakan mengandungi penerbitan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan menggugat keselamatan serta kepentingan negara.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.